|
KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) menegaskan keputusan sama ada Malaysia akan kembali menjadi tuan rumah perlumbaan Formula Satu (F1) terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta pihak berkuasa berkaitan.
Dalam kenyataan kepada Bernama hari ini, syarikat minyak nasional itu memaklumkan pihaknya menyedari kemungkinan kejohanan berkenaan kembali ke negara ini. "Sebagai entiti perniagaan, PETRONAS akan terus meneroka peluang yang selari dengan keutamaan strategik dan komersialnya, di samping menyampaikan nilai mampan jangka panjang kepada negara," menurut kenyataan itu. Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata kementeriannya sedang mengadakan perbincangan serta menilai kemungkinan perlumbaan F1 kembali ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Beliau berkata, langkah itu dibuat susulan maklumat awal yang menunjukkan Malaysia berpotensi menjadi tuan rumah perlumbaan gantian sekiranya Grand Prix Bahrain tidak dapat diteruskan. Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan KBS telah menerima maklumat awal mengenai cadangan itu, manakala perkembangan lanjut akan diumumkan sebaik sahaja keputusan dimuktamadkan. Malaysia kali terakhir menjadi tuan rumah Grand Prix F1 pada 2017. Bagaimanapun, SIC masih tersenarai sebagai litar yang memiliki lesen Gred 1 daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), sekali gus memenuhi syarat untuk menganjurkan perlumbaan F1. Pada 2024, PETRONAS yang juga rakan kongsi pasukan Mercedes F1, pernah dikaitkan dengan laporan bahawa syarikat itu merancang membawa semula perlumbaan F1 ke Malaysia pada 2026, namun dakwaan itu telah dinafikan. PETRONAS menjadi penaja utama pasukan Mercedes F1 sejak 2010. Sementara itu, SIC terus menjadi gelanggang penganjuran MotoGP serta pelbagai acara sukan permotoran lain. Pada Oktober 2023, PETRONAS memperoleh hak penamaan litar berkenaan untuk tempoh tiga tahun. Musim F1 2026 pada asalnya dijadualkan membabitkan 24 perlumbaan. Sekiranya perlumbaan gantian diadakan, ia dijangka membantu memenuhi komitmen penyiaran dan menjadikan jumlah perlumbaan keseluruhan antara 22 hingga 23 pusingan.
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
26-8-2026 01:56 PM GMT+8 , Processed in 0.036321 second(s), 19 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.