HYUNDAI Sonata merupakan kereta segmen pertengahan keluaran Korea Selatan. Di Malaysia Sonata dilancarkan pada 2010. Pengeluaran generasi pertama model ini dimulakan pada 1985 dan dipasarkan di Korea, Kanada dan New Zealand. Hampir 28 tahun berada di pasaran global, kini Sonata memasuki generasi keenam. Pertama kali dilancarkan tiga tahun lalu, rekaan Sonata cukup mempesonakan. Dari segi luaran. Ia sedia untuk menentang model Jepun yang menguasai segmen-D di Malaysia. Tetapi sayang, dari segi pemanduan Hyundai Sonata kurang menyerlah. Enjinnya kurang dinamik dan inspirasi. Bagaimanapun tidak perlu melabelkan Sonata mengecewakan kerana ia memperlihatkan kemajuan besar berbanding sebelumnya. Pakej aspek lain yang ditawarkan juga agak kuat. Ia adalah kereta eksekutif yang cantik dan penuh dengan peralatan yang seiring model Jepun. Masih ada ruang memperbaiki kelemahan, Hyundai memperkenalkan model kemas kini Sonata Facelift (FL) untuk memperbaharui serangan dalam segmen-D bagi 2013. Menarik, sebelum ini Hyundai bergantung kepada Mitsubishi di dalam pembangunan enjin. Sehinggalah pada 1991, mereka memperkenalkan enjin Alpha empat silinder dan enjin itu masih digunakan pada model Accent. Bermula dari itu, Hyundai mempelbagaikan variasi enjin mereka kepada enjin enam silinder dan kini enjin V8 bagi sedan mewah Hyundai Genesis. Impian yang pada awal menjadi bahan jenaka kini direalisasikan. Pencetus kepada kejayaan itu adalah apabila Toyota memperkenalkan Lexus sekitar tahun 90-an. Hasil pertumbuhan dan kejayaan dalam teknologi Hyundai, senario sudah berubah di mana kini Hyundai membekalkan teknologi enjin Theta 2.0 liter dan 2.4 liter kepada Mitsubishi dan Chrysler (jenama kereta Amerika Syarikat). Malah, siapa sangka enjin Mitsubishi Lancer adalah sentuhan syarikat Korea itu. Segmen Pandu Uji kali ini, Pemotoran memilih Sonata FL 2.0 Sport. Untuk varian ini Hyundai memberikan jantung baru iaitu enjin NU Series 2.0L. Penggunaan enjin baru ini adalah hasil penggunaan aluminium yang menyumbang kepada enjin yang lebih ringan, lebih cepat menjana haba (baik untuk mengurangkan geseran enjin, mengurangkan penggunaan bahan api, mengurangkan haus dan lusuh), dan meningkatkan pengendalian secara keseluruhan. Diaspirasikan dengan sistem suntikan bahan api terus secara elektronik, ia menghasilkan kuasa kuda 162PS pada 6500rpm dan tork 198Nm pada 4800rpm. Jujur saya anggarkan di sini prestasi yang ditawarkan Sonata 2.0L berada di paras sederhana. Masih boleh diperbaiki untuk menandingi pesaing Jepun sekelasnya. Ia sedikit menghalang untuk memandu cepat. Dalam keadaan tergesa, saya terpaksa mendesak enjin untuk memberikan kelajuan yang diinginkan. Di situ berlaku sedikit ngauman pada enjin. Untuk respons yang cepat, tolakkan gear ke kanan untuk pemanduan manual. Memandu sejauh 112 kilometer menuju ke Slim River, Perak, Sonata masih memberikan keselesaan untuk pemanduan jauh. Di permulaan enjin NU Series mengambil sedikit masa untuk mendapatkan kelajuan yang diinginkan. Namun untuk kelajuan maksimum di lebuh raya, bukan satu masalah bagi Sonata. Manakala di bahagian stereng sedikit kehilangan sentuhan elektrik di mana terasa lebih ringan. Malah ia juga tidak cukup berat apabila saya memandu laju di selekoh. Menggunakan topang MacPherson di hadapan dan multi link di belakang, Sonata memberikan pengalaman pemanduan yang selesa. Ia hanya mendorong olengan badan yang sedikit ketika melalui jalan beralun dan menyerap hentakan pada jalan berlubang dengan baik. Campuran pemanduan di bandar dan lebuh raya, saya mencatatkan penggunaan petrol 12 liter bagi setiap 100 kilometer. Rekod itu dicatatkan hasil pemanduan yang sedikit agresif. Hasil tersebut kurang impresif berbanding catatan di atas kertas 9 liter/100km. Dari segi kedapan, bunyi enjin cukup senyap pada waktu melahu. Kedapan bunyi angin dan kenderaan luar juga berada di paras sederhana. Perubahan rupa Untuk versi 2013, Sonata memiliki gril radiator yang diperbaharui, saluran udara yang direndahkan bersama rekaan rim aloi yang diberi sentuhan baru untuk lebih menarik. Untuk kit badan Sport memberikan sentuhan tambahan di mana Sonata dilengkapi dengan skirting sisi dan belakang serta ekzos berkembar. Ini memberikan kelebihan gaya sporty premium. Sementara bahagian kabin turut mengalami perubahan meskipun sedikit. Di mana penempatan semula beberapa perkara dan penambahan yang lain hanya untuk varian 2.4 liter. Konsol tengah disemak semula untuk ergonomik yang lebih baik dan memudahkan capaian butang kawalan. Lebih nyata, corak penukaran gear telah ditukar kepada jenis sebaris untuk memudahkan proses tukaran gear. Penukaran warna LED pada radio dan jam kepada warna biru pekat untuk memberikan suasana bukanlah sesuatu yang tidak cantik namun kurang ‘premium’. Kotak hitam Model Sonata 2013 ini turut dilengkapi dengan kotak hitam yang berfungsi sama seperti kotak hitam kapal terbang. Ia akan merekodkan potensi tindakan pemandu ke arah berlakunya kemalangan seperti: membrek keras, perubahan arah secara tiba-tiba mahupun melalui selekoh secara mendadak. Kamera akan merakam 10 saat sebelum dan 20 saat selepas tindakan tersebut berlaku. Kemudian maklumat itu akan disimpan dalam fail yang berbeza di dalam kad SD 8GB. Kotak hitam disambungkan dengan elektronik Sonata. Ia bukan sahaja merakamkan video tetapi juga audio di dalam kabin. Tetapi bagi mereka yang enggan perbualan direkodkan, tersedia butang di bahagian tepi untuk anda mematikan fungsi audio. Kotak hitam itu juga dilengkapi GPS dengan sambungan internet. Ia merekodkan bacaan kelajuan dan lokasi kenderaan. Cuma kedudukan kamera kecil di belakang cermin pandangan belakang sedikit mengundang kecurian. Apa yang pasti kehadiran sedan premium yang memiliki karakter jauh berbeza dari varian sebelumnya. Hyundai merombak rekaan luaran Sonata menjadi lebih tajam, berotot, moden dan mengalir agar dapat bersaing dengan pesaing tegar dalam segmen-D.
|
ADVERTISEMENT