|
Seoul: Peratusan bayi yang dilahirkan melalui rawatan kesuburan di Korea Selatan melonjak mendadak dalam tempoh lima tahun lalu apabila konsep persenyawaan bantuan perubatan kini merangkumi sebahagian besar daripada kadar kelahiran, lapor The Korea Herald.
Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Perkhidmatan Semakan dan Penilaian Insurans Kesihatan awal Januari lalu, bayi yang dihasilkan melalui sokongan perubatan seperti persenyawaan in-vitro (IVF) atau inseminasi buatan merangkumi 15.1 peratus daripada keseluruhan bayi lahir pada 2024. Jumlah itu menunjukkan peningkatan ketara berbanding hanya 8.7 peratus yang dicatatkan pada 2019. Daripada segi jumlah, bayi yang dilahirkan melalui rawatan kesuburan meningkat kira-kira 37 peratus, daripada kira-kira 26,000 pada 2019 kepada 36,000 pada 2024. Pertumbuhan pesat dalam perkadaran itu mencerminkan peralihan demografi yang lebih luas memandangkan dalam tempoh sama, jumlah keseluruhan bayi lahir di Korea Selatan merosot daripada 302,000 kepada 238,000. Jumlah kos rawatan kesuburan yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan meningkat daripada 227.7 bilion won (kira-kira RM758.2 juta) kepada 555.5 bilion won (kira-kira RM1.85 bilion) antara 2018 hingga 2024. Trend berkenaan sejajar dengan kecenderungan rakyat negara itu yang mendirikan rumah tangga pada usia lebih lewat, yang mana purata usia perkahwinan pertama terus meningkat bagi lelaki dan wanita. Menurut Kementerian Data dan Statistik, purata umur perkahwinan pertama bagi lelaki meningkat daripada 33.15 kepada 33.86 tahun antara 2018 dan 2024, manakala bagi wanita meningkat daripada 30.4 kepada 31.55 tahun dalam tempoh sama. Kumpulan usia lebih tua kini menyumbang kepada bahagian penerima penjagaan kesuburan yang semakin meningkat dengan perkadaran pesakit berusia 40-an melonjak daripada 25.5 peratus kepada 40.3 peratus. Sebagai tindak balas terhadap permintaan yang meningkat, kerajaan meluaskan sokongannya terhadap rawatan kesuburan sebagai sebahagian daripada usaha menangani penuaan penduduk yang pesat. Dengan melonggarkan piawaian kelayakan dan meningkatkan bilangan kitaran rawatan bersubsidi, jumlah kes rawatan yang disokong meningkat sebanyak 142.6 peratus daripada 92,000 pada 2020 kepada 223,000 pada 2024. Bajet berkaitan turut diperluas sebanyak 3.5 kali ganda menjadi 145.7 bilion won (kira-kira RM485.2 juta) bagi menyokong inisiatif berkenaan. Data menunjukkan kadar kejayaan rawatan kesuburan berada pada tahap 30.9 peratus untuk IVF dan 17.5 peratus untuk inseminasi buatan setakat 2022. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT