|
Sebuah video memaparkan seorang pengantin perempuan tular di TikTok selepas wajahnya dikatakan mirip penyanyi dan komposer terkenal, Shila Amzah. Menerusi perkongsian tersebut, pengantin berkenaan tampil anggun mengenakan persalinan raja sehari berona biru turquoise. Namun, apa yang paling mencuri perhatian warganet adalah raut wajahnya yang persis Shila Amzah, terutama apabila dia mengukir senyuman. Malah, air muka pengantin itu dilihat seakan-akan ‘tidak tumpah’ seperti pelantun lagu Patah Seribu berkenaan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi netizen. Perkongsian tersebut turut menarik perhatian Shila sendiri yang meninggalkan komen di ruangan balas dengan memuji kecantikan pengantin itu. Bukan itu sahaja, suami Shila, Ubai MZ turut mencuri perhatian apabila berseloroh dengan bertanya sama ada nama suami pengantin tersebut juga Ubai. "Suami dia nama Ubai juga ke?" Rata-rata warganet terhibur dengan komen mencuit hati Ubai selain turut bersetuju dengan persamaan wajah antara pengantin berkenaan dan Shila. Sumber: TikTok, Oh Bulan
|
ADVERTISEMENT