CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Trump arah tarif 25 peratus ke atas negara jalankan perniagaan dengan Iran

13-1-2026 12:52 PM| Diterbitkan: CARI-MAL| Dilihat: 822| Komen: 2



Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Isnin mengumumkan bahawa AS akan mengenakan tarif 25 peratus ke atas "mana-mana dan semua" negara yang menjalankan perniagaan dengan Iran, menurut Anadolu Ajansi (AA).

"Berkuat kuasa serta-merta, mana-mana negara yang menjalankan perniagaan dengan Republik Islam Iran akan membayar tarif 25 peratus bagi mana-mana dan semua urus niaga dengan AS," kata Trump dalam satu kenyataan menerusi platform Truth Social. "Perintah ini adalah muktamad dan konklusif."

Butiran tambahan mengenai duti import itu belum diperincikan setakat ini.

Trump sebelum ini berulang kali mengancam untuk menyerang Iran sekiranya pihak berkuasa negara itu menggunakan kekerasan sehingga mengakibatkan kematian bagi menyuraikan protes yang telah merebak ke seluruh negara. Namun kenyataan terbaharunya itu dibuat hanya beberapa jam selepas Rumah Putih memaklumkan bahawa beliau "berminat" untuk meneroka pendekatan diplomasi dengan Tehran.

Anadolu melaporkan bahawa Jurucakap Rumah Putih Karoline Leavitt berkata Trump "tidak gentar" untuk melaksanakan ancamannya menggunakan kekuatan ketenteraan terhadap sasaran di Iran sekiranya penunjuk perasaan diserang oleh pasukan keselamatan, namun menegaskan pilihan utamanya ialah menjalinkan diplomasi dengan Tehran.

Terdahulu pada hari yang sama, protes diadakan di beberapa kawasan di Iran bagi menyatakan sokongan kepada kerajaan ketika demonstrasi anti-kerajaan memasuki hari ke-16 susulan keadaan ekonomi yang semakin bertambah buruk di negara itu.

Di Tehran, orang ramai berkumpul di Dataran Enghelab, sebuah kawasan tumpuan utama berhampiran Universiti Tehran, sambil mengibarkan bendera Iran dan "mengecam keganasan baru-baru ini" di tempat awam, menurut seorang wartawan Anadolu.

Penunjuk perasaan turut menggesa kerajaan menangani rungutan ekonomi sambil menolak apa yang mereka sifatkan sebagai "campur tangan asing" dalam urusan dalaman Iran. Perhimpunan serupa turut dilaporkan berlaku di bandar-bandar lain, termasuk Kerman, Zahedan dan Birjand di timur Iran.


Sumber – Harian Metro


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote plywood 13-1-2026 01:32 PM
Senjata paling ampuh trump   ... serangan tariff
Quote Dwdrum 13-1-2026 01:47 PM
Bukan tariff tetapi economy sanction...

Lihat semua komen(2)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2026 10:13 PM GMT+8 , Processed in 0.092874 second(s), 17 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top