|
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata hanya 'nilai moral dirinya' sendiri yang menghalang penggunaan kuasanya untuk arah tindakan ketenteraan di seluruh dunia.
Kenyataan itu dikeluarkan Trump dalam wawancara bersama The New York Times (NYT), beberapa hari selepas beliau melancarkan operasi pantas menjatuhkan pemimpin Venezuela, Nicolas Maduro dan mengeluarkan ancaman terhadap beberapa negara lain termasuk wilayah autonomi Greenland. "Ya, ada satu perkara. Nilai moral saya sendiri. Pemikiran saya sendiri. Itulah satu-satunya perkara yang boleh menghalang saya," katanya ketika ditanya sama ada terdapat sebarang had terhadap kuasa globalnya. Tambah Trump, beliau tidak perlukan undang-undang antarabangsa. "Saya tidak berniat untuk menyakiti orang," katanya. Presiden dari Parti Republikan itu kemudian menjelaskan bahawa beliau sememangnya perlu mematuhi undang-undang antarabangsa. Bagaimanapun, katanya, ia bergantung kepada bagaimana undang-undang antarabangsa itu ditakrifkan. AS bukan ahli Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang mengadili penjenayah perang dan berulang kali menolak keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) iaitu mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Trump sendiri pernah berdepan isu dengan undang-undang dalam negara, termasuk dua kali dicabar di mahkamah, berhadapan pelbagai tuduhan Persekutuan. Antaranya termasuk bersekongkol untuk menukar keputusan pilihan raya 2020, yang akhirnya dibatalkan selepas beliau dipilih semula dan disabitkan kesalahan kerana menutup pembayaran wang bagi 'menutup mulut' seorang pelakon lucah. Walaupun menggelarkan dirinya sebagai 'presiden keamanan' dan menyatakan hasrat memenangi Hadiah Nobel Keamanan, Trump melancarkan beberapa operasi ketenteraan sepanjang penggal keduanya sebagai presiden. Trump mengarahkan serangan terhadap program nuklear Iran pada Jun lalu dan sepanjang setahun lalu turut menyelia serangan di Iraq, Nigeria, Somalia, Syria, Yaman dan yang paling terkini, Venezuela. Sejak penangkapan Maduro, Trump semakin berani mengeluarkan ancaman terhadap beberapa negara lain termasuk Colombia dan Greenland yang ditadbir oleh Denmark, rakan sekutu pertubuhan perjanjian Atlantik Utara (NATO). Apabila ditanya sama ada keutamaannya adalah untuk mengekalkan pakatan ketenteraan NATO atau mendapatkan Greenland, Trump, berkata: "Ini mungkin antara pilihan yang terpaksa saya buat". Beberapa ahli Kongres, termasuk segelintir Republikan, kini berusaha mengehadkan kuasa Trump. Semalam, Senat memajukan satu langkah untuk mengehadkan tindakan ketenteraan presiden di Venezuela. Bagaimanapun, rang undang-undang (RUU) itu berkemungkinan besar akan diveto oleh Trump. Trump, seorang bilionair yang membina kekayaan sebagai pemaju hartanah, turut berkata pemilikan AS ke atas Greenland adalah perlu secara psikologi untuk kejayaan. Dalam kenyataan berasingan, Trump berkata beliau berdepan masalah berkaitan urus niaga perniagaan luar negara oleh keluarganya sejak kembali memegang jawatan. "Saya melarang mereka menjalankan perniagaan ketika penggal pertama namun saya langsung tidak mendapat sebarang penghargaan. "Saya dapati tiada siapa yang peduli, dan saya sebenarnya dibenarkan berbuat demikian," katanya. - AFP
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
10-2-2026 10:06 AM GMT+8 , Processed in 0.030726 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.