|
Gelaran Permaisuri sedikit pun tidak menghalang Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, untuk terus menimba ilmu sebagai seorang mahasiswa. Keazaman baginda untuk kembali menyambung pengajian di sebuah institusi pengajian awam pada lewat tahun 2024 menjadi inspirasi bukan sahaja kepada golongan wanita, malah seluruh lapisan masyarakat.
Baru-baru ini, Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, berkenan berangkat bercemar duli ke Muzium Seni Kontemporari (MOCA) di Kuantan. Menurut sumber rasmi Kesultanan Pahang, keberangkatan tersebut membawa makna tersendiri buat Tengku Ampuan Pahang yang kini sedang bertungkus lumus menyiapkan tesis akademik baginda.
Tesis berjudul The Hukum Kanun Pahang: A Sovereign Malay-Islamic Constitution mencerminkan minat mendalam baginda terhadap pemikiran Islam, perundangan Melayu dan warisan ketamadunan Islam di Alam Melayu.
Keberangkatan pasangan diraja ini turut mencuri perhatian apabila mereka dilihat bergurau senda dalam suasana santai. Keakraban tersebut jelas mencerminkan sokongan moral dan emosi yang kukuh antara suami dan isteri, sekaligus memperlihatkan keharmonian institusi diraja Pahang.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|