|
Putrajaya: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan pelaksanaan dasar Bumiputera di bawah Kerajaan MADANI jauh lebih baik berbanding kerajaan sebelum ini.
Perdana Menteri berkata, pelbagai bukti jelas dan berfakta boleh dikemukakan, antaranya peningkatan nilai jaminan Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) kepada RM30 bilion mulai 2026, yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 30,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS). "Untuk 2026 juga, kerajaan memperuntukkan RM10 bilion khusus kepada PMKS Bumiputera supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara. "Kadang-kadang orang jerit (dasar) Bumiputera tak ada, (dasar) Melayu tak ada, saya tak faham, sama ada mereka tak dengar, tak baca atau tak faham sebab ketimbang dasar sebelum ini, dasar Bumiputera kita dalam Kerajaan Madani jauh lebih (baik) dan kita boleh berikan fakta," katanya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun 2026 pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, hari ini. Anwar berkata, beliau yakin Malaysia akan terus melonjak sebagai sebuah negara hebat di rantau ini sambil menegaskan bahawa kejayaan itu tidak seharusnya dinafikan hanya kerana dipesongkan oleh isu terpencil. "Ini negara majoriti Melayu dan Islam, tetapi juga negara pelbagai kaum dan agama. Kemajmukan ini bukan perkara baharu. Jangan kita terlalu tergugat dengan tekanan sama ada dari daerah, wilayah, kaum atau agama," katanya. Anwar berkata, selagi negara berpaksikan keyakinan dan hala tuju yang jelas, kepelbagaian tidak seharusnya mengalih pandangan daripada teras dan tonggak kekuatan negara. "Kita harus membuat pilihan, sama ada mahu mengangkat negara ini sebagai negara hebat dengan menyatukan seluruh rakyat pelbagai kaum atau membiarkan sentimen memecah-belahkan sehingga menghakis kekuatan kita," katanya. Beliau menegaskan, kritikan keras dan sentimen sempit tidak dapat dielakkan, namun persoalan utama yang perlu dijawab ialah fakta di sebalik dakwaan bahawa Islam atau mana-mana kaum terpinggir. "Semua tahu Islam adalah agama Persekutuan dan Perlembagaan turut menjamin peranan bahasa, budaya serta prinsip Bumiputera tetapi ia tidak boleh digunakan untuk menyebabkan sebahagian rakyat merasakan diri mereka terpinggir," katanya. Dalam pada itu, Anwar menekankan keperluan pimpinan yang berani melaksanakan pembaharuan dan membanteras rasuah ketika masih berkuasa, bukan hanya bersuara selepas kehilangan jawatan. "Semasa kita ada kuasa, ketika menjadi menteri, ketua jabatan atau penjawat awam, itulah masanya kita bertindak membersihkan negara daripada kebejatan dan budaya rasuah, tanpa kecuali," katanya. Beliau menegaskan, usaha pembaharuan mesti dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh ketika diberi amanah, bukannya sekadar berleter selepas tidak lagi memegang kuasa. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
14-2-2026 11:51 PM GMT+8 , Processed in 0.362356 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.