|
Jakarta: Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah di Sumatera meningkat kepada 1,135 orang setakat Khamis.
Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Pengurusan Bencana Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB), Abdul Muhari berkata, jumlah itu meningkat enam kematian daripada 1,129 orang yang direkodkan pada hari sebelumnya. Katanya, Wilayah Aceh mencatatkan jumlah korban tertinggi dengan 503 kematian setakat ini. Sementara itu, di Wilayah Sumatera Utara, 371 mangsa disahkan terkorban, manakala Sumatera Barat merekodkan 261 kematian. "Seramai 173 masih diisytiharkan hilang dalam bencana berkenaan," katanya dalam sidang media di ibu pejabat BNPB di sini, pada Khamis lalu. Menurutnya, ratusan ribu penduduk masih lagi ditempatkan di pusat pemindahan sementara di 52 daerah atau bandar di ketiga-tiga wilayah terbabit. Katanya, jumlah terkini mangsa yang dipindahkan ke lokasi selamat kini mencecah 489,864 orang. Banjir kilat dan tanah runtuh sejak akhir November lalu itu turut menyebabkan kerosakan besar terhadap ribuan infrastruktur di kawasan terjejas. BNPB merekodkan lebih 157,000 rumah mengalami kerosakan di samping 1,900 kemudahan awam di tiga wilayah berkenaan turut terjejas. Ratusan kemudahan kesihatan, institusi pendidikan, rumah ibadat, bangunan pejabat dan jambatan dilaporkan rosak akibat bencana itu. Sementara itu, Presiden Prabowo Subianto berkata, kerajaan akan membina perumahan sementara dan kekal untuk mangsa yang terjejas dalam masa terdekat. Beliau menjelaskan kerajaan memperuntukkan bajet khusus serta membuat persiapan rapi bagi pembinaan semula kediaman selain merancang menubuhkan pasukan petugas khas bagi melaksanakan usaha rehabilitasi pascabencana. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
16-2-2026 09:04 AM GMT+8 , Processed in 1.142134 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.