CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Mohd Shukri letak jawatan Menteri Besar Perlis - "Saya masih lagi ADUN Sanglang"

26-12-2025 12:08 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 145| Komen: 0

 


KANGAR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli sebentar tadi mengumumkan beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perlis secara sukarela atas faktor kesihatan, berkuat kuasa hari ini.

Terdahulu, beliau mempersembahkan surat letak jawatan sebagai Menteri Besar kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail tengah hari tadi.

Bekas Pesuruhjaya PAS Perlis itu memaklumkan, beliau diperkenankan untuk menghadap Tuanku Syed Sirajuddin di Wad DiRaja Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan menyatakan hasrat meletak jawatan berkenaan,

"Saya sudah mempersembahkan kepada Tuanku akan hasrat saya menerusi surat peletakan jawatan sebagai Menteri Besar secara sukarela berkuat kuasa hari ini. Peletakan jawatan ini dilakukan atas faktor kesihatan saya yang tidak mengizinkan akhir-akhir ini.

"Saya dengan ini menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan Duli Yang Maha Mulia Tuanku untuk mempertimbangkan hasrat saya ini," katanya pada sidang media di Kediaman Rasmi Menteri Besar Perlis, di sini hari ini.

Katanya, beliau hanya meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan masih kekal sebagai ADUN Sanglang, jawatan yang dimenanginya pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

"Saya masih lagi ADUN Sanglang dan kembali meneruskan tugas saya kepada rakyat di kawasan DUN saya," katanya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantunya dalam pentadbiran negeri selama ini.

Mohd Shukri adalah Menteri Besar Perlis ke-11, dilantik pada 22 November 2022 dan ahli politik pertama dari gabungan Perikatan Nasional (PN) yang berjaya mengambil alih pentadbiran negeri daripada Barisan Nasional (BN) selama 65 tahun di Perlis.

Perkembangan itu menyusul selepas berlegar dakwaan beberapa ADUN daripada PAS dan BERSATU menyerahkan akuan bersumpah (SD) kepada Raja Perlis pada Jumaat lalu, yang menyatakan mereka tidak lagi menyokong kepemimpinan Mohd Shukri.

Berikutan itu, satu mesyuarat khas dilangsungkan di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut, di sini semalam seperti disahkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS III Perlis.

Hasil Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu, keahlian tiga ADUN Perlis daripada parti itu digugurkan berkuat kuasa serta-merta. Perkara itu disahkan menerusi kenyataan Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang memaklumkan keputusan itu dibuat berdasarkan Fasal 76 dan Fasal 15A(1)(b) Perlembagaan PAS (Pindaan 2025).

Tiga ADUN terbabit ialah Saad Seman (ADUN Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji.

Bertindak atas keputusan berkenaan, Speaker DUN Perlis, Rus'sele Eizan memaklumkan pagi tadi, pihaknya akan memohon kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya diadakan pilihan raya kecil (PRK) bagi tiga kawasan DUN di negeri itu berikutan berlaku kekosongan luar jangka yang menjejaskan majoriti kerajaan negeri.

"Makluman mengenai perkara itu diterima secara rasmi daripada Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan susulan keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat semalam.

"Setelah membuat semakan dan meneliti perkembangan berkaitan, saya berpuas hati bahawa sudah berlakunya kekosongan luar jangka yang memenuhi kehendak Perkara 50A(1)(a)(ii) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi ketiga-tiga DUN berkenaan," katanya.

Katanya, notis bertulis berhubung kekosongan luar jangka itu diterima daripada seorang ADUN Beseri, Haziq Asyraf Dun selaras dengan Perkara 50A(3) undang-undang tubuh negeri dan menjelaskan, secara kebiasaan, PRK tidak perlu diadakan sekiranya usia DUN sudah melebihi tiga tahun.

"Walaupun tempoh penggal kerajaan negeri sudah mencapai tempoh matangnya pada 18 Disember lalu, saya berpendapat bahawa satu PRK harus dijalankan bagi mengisi kekosongan kerusi berkenaan. Ini kerana ketiadaan wakil rakyat baharu bagi kerusi berkenaan yang dimenangi PAS akan menyebabkan implikasi majoriti (PAS) di peringkat DUN.

"Malah, kedudukan akan menjadi 12 kerusi sahaja yang diwakili ADUN (termasuk satu dari PH) berbanding keseluruhan 15 sebelum ini dengan sembilan kerusi adalah milik PAS. perkembangan ini akan menyebabkan kedudukan majoriti PAS menjadi tipis kepada hanya enam kerusi berbanding BERSATU yang mempunyai lima kerusi.

"Saya berpuas hati bahawa kekosongan tiga kerusi itu menjejaskan bilangan majoriti semua Ahli Dewan Negeri Perlis dan menimbulkan keadaan 'terjejas' dari segi kestabilan kerajaan negeri. Demi kepentingan kestabilan kerajaan dan memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, kekosongan ini wajar diisi semula," katanya.

Sehubungan itu, beliau akan menggunakan budi bicara di bawah Proviso Perkara 55(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis untuk memaklumkan secara bertulis kepada SPR serta memohon supaya pilihan raya diadakan bagi mengisi kekosongan luar jangka berkenaan.

Sumber : BH


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

16-2-2026 06:32 AM GMT+8 , Processed in 0.035234 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top