|
KUALA LUMPUR: PAS berharap BERSATU selaku rakan gabungannya dalam Perikatan Nasional (PN) akan turut mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mereka yang terbabit menandatangani akuan bersumpah (SD) sehingga mencetus suasana tidak harmoni di Perlis.
Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tindakan sedemikian penting sebagai tanda hormat kepada rakan komponen dalam PN serta bagi memastikan disiplin dan keutuhan gabungan terus terpelihara. Beliau berkata, tindakan ini berdasarkan perbandingan kepada masalah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Kelantan sebelum ini. BERSATU ketika itu, katanya telah menghentikan keahlian YB ADUN Nenggiri kerana menyokong PMX (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim) sehingga membuka ruang kepada Pilihan Raya Kecil (PRK), sedangkan tindakan berkenaan berlaku tanpa melibatkan SD. "Berbanding dengan (DUN) Nenggiri, apa yang berlaku di Perlis jauh lebih serius. Ia memberi kesan langsung kepada keutuhan kerajaan PN. "Sebagai rakan dalam gabungan utama PN, kami yakin BERSATU akan bertindak secara konsisten dan tegas, selaras semangat Akta Antilompat Parti serta prinsip amanah kepada mandat rakyat. "PAS sudah melakukan tindakannya demi mendisiplinkan parti, kini saya merasakan BERSATU wajar melakukan perkara yang sama kepada ADUN parti itu," katanya melalui kenyataan hari ini. Sebelum ini, PAS memanggil tiga ADUN parti itu dari Perlis yang turut terbabit dalam penyerahan SD terbabit dan masing-masing memberi pengakuan bahawa sudah menandatangani dokumen itu. Menerusi akuan tiga ADUN itu sendiri, PAS sudah mengambil tindakan tatatertib dan keahlian tiga ADUN berkenaan iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (ADUN Bintong) dan Mohd Ridzuan Hashim (ADUN Guar Sanji) digugurkan serta-merta mengikut Fasal 15A Perlembagaan PAS. Apabila keahlian digugurkan, maka menurut Undang Undang Tubuh Negeri Perlis Perkara 50A(1)(a)(ii) kerusi ADUN juga turut tergugur. Mengulas perkembangan itu itu, Tuan Ibrahim berkata PAS telah mengambil tindakan tegas terhadap tiga ADUN terbabit kerana parti berkenaan tidak bersedia berkompromi dalam soal disiplin jemaah. "Walaupun keputusan ini mungkin membawa risiko terhadap kestabilan kerajaan Perlis, PAS berpandangan bahawa prinsip dan integriti parti mesti diutamakan mengatasi kepentingan jangka pendek. "Dalam suasana ini, saya menyeru seluruh ahli dan penyokong PAS agar kekal tenang, berdisiplin serta tidak mudah terpengaruh dengan provokasi yang hanya menguntungkan pihak lawan," katanya. Sumber : BH
|
ADVERTISEMENT
© 1996-2026 Cari Internet Sdn Bhd (483575-W)|Hosted By IPSERVERONE|Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy
15-2-2026 07:33 PM GMT+8 , Processed in 0.046128 second(s), 20 queries , Gzip On, Redis On.
Powered by Discuz! X3.4
Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.