CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CARI sedang mencari rakan kongsi yang berkongsi matlamat sama untuk meneroka lebih banyak peluang bersama. Untuk maklumat lanjut: Klik sini
CariDotMy Portal Portal Utama Viral Lihat artikel

Skuter Tak Dapat, Duit Insurans Lesap: Cikgu Ditipu Pegawai Bank Jadian

28-11-2025 03:06 PM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 1093| Komen: 1

 


Segalanya bermula dengan hasrat seorang cikgu untuk membeli sebuah skuter baharu. Bagi merancang kewangannya, Cikgu Syafiq Aizat mencari maklumat berkenaan kadar faedah pinjaman Islam di Internet.

Selepas membuat kira-kira, dia memilih pinjaman peribadi kerana bayaran baliknya cuma RM95 sebulan berbanding ansuran pinjaman kedai sebanyak RM250.

“Then macam biasa , apa yang kita search akan keluar iklan. Keluarlah iklan ‘Maybank’ (palsu di Facebook). Ada button apply now, aku pun try tekan, then keluar tempat untuk letak nombor fon…aku letak.

“Beberapa jam selepas itu, ada seorang mengaku staf ‘Maybank’ text aku. Dia pun borak lah pasal loan n so on, bagi borang semua lah. Kerja sebijik macam pegawai bank.

“Dalam sehari dua, selesailah urusan semua dokumen, tinggal tunggu approval bank je,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Iklan scammer yang berjaya memperdayakan Syafiq Aizat



Menurut Syafiq Aizat, pada hari ketiga, pegawai bank jadian itu menghubunginya melalui telefon untuk memaklumkan permohonan telah lulus dan menghantar surat kelulusan dari ‘Maybank’.

Katanya, surat itu kelihatan tulen lengkap dengan tandatangan pengarah ‘Maybank’ dan pegawai bank jadian berkenaan memberitahu pada pukul 1 petang dia akan menerima SMS dari nombor 68886 memaklumkan pinjaman telah diluluskan yang perlu dibalas YES sebagai pengesahan.

Selepas membuat pengesahan, pegawai bank jadian berkenaan memaklumkan duit pinjaman akan dimasukkan ke akaun pada pukul 2 petang.

“Pukul 1.30 petang , haram jadah ni call aku cakap insurans tak lepas potong dalam loan sebab aku pinjam sikit sangat. So dia suruh aku bayar asing. Katanya lepas aku bayar terus duit akan release. Aku yang masa tu tengah memandu malas fikir panjang, aku bayar je RM450 insurans tu.

“Lepas aku bayar, dia cakap terima kasih dan minta tunggu sekejap lagi duit masuk. Pukul 4 lebih. duit tak masuk pun, dia call aku cakap credit score aku rendah pula.  Masa tu aku terus sedar “setannn aku kene scam ni”.

“Aku terus call HQ Maybank untuk check record permohonan aku wujud tak. “Tidak wujud”. Memang haram jadah. Start kereta pergi balai, report. Kemudian aku call bank gaji aku yang aku kene scam, diaorang pun minta salinan report dan proses serta secure account aku,” katanya

Perbualan scammer dengan Syafiq Aizat


Scammer yang belum sedar tembelangnya sudah pecah tidak berputus asa apabila tetap menghubung Syafiq Aizat bertanya sama ada duit sudah diterima atau tidak.     

“Aku tak reply, aku tak maki apa sebabnya aku nak bagi bank buat kerja dan trace duit aku dulu, jika dia orang sempat aku boleh dapat refund.

“Scammer ni tak putus asa, dia cakap duit akan masuk esok. Esoknya betul, masuk dalam account aku RM10k, floating,” katanya.

Namun menurut Syafiq Aizat, rekod wang floating itu kemudiannya hilang dari akaun semasanya dua hari selepas itu kerana scammer berkenaan memasukkan cek tendang dalam usaha memancing kepercayaannya.

Beliau juga tidak menyangka menjadi mangsa scammer kerana sebelum ini pernah membuat pinjaman melalui pegawai pemasaran bank yang mengiklankan perkhidmatan secara online.

“Allah ajar bagi pengalaman kat saya. Saya kongsi sebagai tauladan kepada yang lain, supaya ramai dapat kesedaran,” katanya.

Kad nama scammer yang menyalahgunakan nama bank


Perkongsian Syafiq Aizat kemudiannya menerima pelbagai reaksi netizen yang pernah menjadi mangsa atau hampir menjadi mangsa pegawai bank jadian.

Seorang pegawai pemasaran pinjaman turut berkongsi pengalaman pelanggannya yang pernah menjadi mangsa ‘Affin Bank’ palsu selepas membuat permohonan melalui iklan media sosial.

“Buat RM10k tapi kena bayar macam inilah, siap tunjuk gambar sistem lagi pending disburse sebab ada kena bayar cash. Lepas bayar semua pastu dia tunjuk yang floating tu.

“Floating ni boleh je buat, bagi cek yang confirm ada masalah, memang tak masuk lah duit tu kena tendang.

“Please sesiapa lepas ini pergi ke official website bank kalau nak apply. Memang ada sales staff yang marketing thru socmed (saya pun pernah buat). Tapi itulah…staf betul dengan scammer macam sama banyak,” kata Exan Salfareena.

Dua kisah tadi hanya cebisan daripada puluhan ribu kes penipuan kewangan dalam talian yang menunjukkan trend membimbangkan.  

Menurut laporan PDRM, dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, terdapat 47,854 kes penipuan dalam talian dengan kerugian RM1.919 bilion, angka tertinggi direkodkan Malaysia.

Ini bermakna secara purata lebih RM 5.2 juta wang rakyat hilang setiap hari sepanjang 2025 kepada sindiket yang tidak pernah kita lihat wajahnya tanpa rompakan bersenjata dan tanpa jejak suspek.

Bayangkan, dalam tempoh hanya 33 hari pada awal 2025, sebanyak RM260.28 juta sudah lesap akibat jenayah komersial dengan 87.9 peratus daripadanya ialah scam dalam talian.

Jumlah itu bukan angka terpencil, sebaliknya peningkatan besar berbanding 35,368 kes dan RM1.57 bilion kerugian pada 2024. Ini menunjukkan aktiviti scam kini bergerak seperti industri, bukan lagi jenayah kecil.

Lebih menakutkan, majoriti mangsa bukan warga emas yang tidak tahu teknologi. Mangsa terbesar adalah pengguna berusia 25 hingga 40 tahun iaitu golongan paling aktif menggunakan aplikasi kewangan dan belian atas talian.

Mereka ialah golongan bekerja, celik digital dan percaya kepada sistem yang kelihatan sah. Namun sikap percaya tanpa semakan membuka pintu masuk kepada penipuan.

Modus operandi scammer juga dipelbagaikan dan tidak lagi beroperasi secara rawak seperti dahulu. Kini mereka menggunakan data pengguna melalui nombor telefon, e-wallet, media sosial dan ketirisan maklumat.

Ada yang berlakon sebagai kakitangan bank, polis, pos, telco, servis penghantaran malah pejabat kerajaan. Mereka juga mengguna logo, suara robot, alamat web palsu dan teknik psikologi untuk membuat mangsa panik.

Apabila panik, mangsa tidak berfikir dan mereka hanya mengikut arahan. Ini menjadi bukti bahawa masalah terbesar bukanlah teknologi yang canggih, tetapi kurangnya sikap untuk menyemak sebelum klik.

Malah, jika diperhatikan, banyak mangsa sebenarnya tahu tentang scam. Tetapi ada yang tetap terjerat kerana faktor masa yang mendesak dan cara komunikasi yang agresif.

Ingatlah, keselamatan digital bukan sekadar tanggungjawab bank atau polis tetapi juga tanggungjawab individu. Sikap berhati-hati adalah firewall paling kuat dalam dunia digital.

Dengan jumlah kerugian melebihi RM1.9 bilion, rakyat Malaysia tidak boleh kekal sebagai pengguna digital yang pasif kerana selagi kita tidak belajar untuk semak semula, statistik kerugian RM 5.2 juta sehari akan terus meningkat!


Sumber : Rotikaya

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan
Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote Sunshine9202 1-1-2026 09:26 PM
Moga dipermudahkan segala urusan

Lihat semua komen(1)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

23-1-2026 06:13 AM GMT+8 , Processed in 0.234267 second(s), 15 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top