|
Kluang: Polis menahan lelaki yang tular di media sosial kerana melakukan pergerakan seperti bersilat di Tanah Perkuburan Islam Kampung Melayu, di sini, semalam. Suspek berusia 31 tahun dan masih bujang itu ditahan di tepi Jalan Merdeka, Sri Lalang, di sini, pada 1 tengah hari dan didapati positif dadah. Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, lelaki itu juga memiliki empat rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah. Katanya, pihaknya menahan reman suspek selama tiga hari bermula hari ini sehingga Khamis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952. "Video berdurasi 27 saat (berkait perbuatan suspek) dirakam pengguna jalan raya dan dimuat naik di media sosial sehingga tular.
"Hasil siasatan polis mendapati, suspek tidak berkeluarga dan menetap bersama ibu angkatnya di Sri Lalang," katanya dalam kenyataan. Sebelum ini, Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid meminta Pejabat Kadi Daerah Kluang menyiasat seorang lelaki yang dilihat melakukan pergerakan seperti bersilat di tanah perkuburan terbabit. Siasatan dijalankan memastikan tiada unsur yang bercanggah dengan adab di tanah perkuburan. Sumber : Harian Metro |
