|
Pelakon Park Si Hoo, menafikan sekeras-kerasnya khabar angin dalam talian yang mendakwanya terbabit memperkenalkan ramai wanita kepada seorang lelaki yang sudah berkahwin. Tuduhan itu turut mengaitkannya sebagai punca utama keretakan rumah tangga individu berkenaan sehingga membawa kepada perpisahan. Pada 7 Ogos lalu, agensi pengurusan pelakon terbabit, Hoo Factory, mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menafikan tuduhan berkenaan. Mereka menegaskan dakwaan itu adalah palsu sama sekali dan tidak berasas. Dalam kenyataan sama, pihak agensi turut mengesahkan bahawa tindakan undang-undang yang tegas sedang diusahakan terhadap penyebar fitnah itu. Kontroversi berkenaan tercetus pada 5 Ogos apabila seorang pempengaruh media sosial wanita memetik nama Si Hoo secara terbuka. Menerusi hantarannya itu, dia dituduh dalang kehancuran rumah tangganya.
"Hei Park Si Hoo. Awak pernah memanggil saya 'kakak ipar' semasa keluarga saya tinggal di UN Village. Tetapi rupa-rupanya awak memperkenalkan ramai wanita kepada Hwang (suaminya) sejak tahun 2020 lagi," katanya. Bagi mengukuhkan dakwaannya, wanita itu turut menyiarkan beberapa bukti tangkapan skrin perbualan mesej. Selain itu, sekeping gambar wanita yang dikaitkan dengan suaminya turut didedahkan. Sejurus selepas kontroversi itu tular, pihak Si Hoo tampil membuat penafian awal. Seorang wakil agensi memberitahu media tuduhan itu sama sekali tidak benar. "Kami langsung tidak mengenali individu yang disebut dalam hantaran itu dan akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi," katanya. Sumber: – Harian Metro |
ADVERTISEMENT