|
KUALA LUMPUR: Pasukan Liga Malaysia (Liga M) yang bergelut dengan masalah kewangan sehingga mencetuskan isu tunggakan gaji seharusnya tidak berbelanja lebih daripada RM25,000 untuk mendapatkan khidmat pemain tempatan. Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn Bhd, Effendi Jagan Abdullah berkata mereka sepatutnya meletakkan 'tanda harga' yang dirasakan mampu sekali gus dapat mengelak daripada berbelanja melebihi kemampuan kewangan pasukan masing-masing. Beliau yang lebih 20 tahun bertindak sebagai ejen pemain menegaskan perbelanjaan setiap pasukan tetap bergantung kepada perancangan masing-masing namun mereka perlu bijak dalam merencana strategi bagi mendapatkan pemain untuk memperkasa pasukan. "Gaji siling ini boleh (dipraktikkan) pasukan yang bergelut tetapi terpulanglah kalau mereka mahu ikut atau pun tidak. Memang ada tangga gaji yang saya rasakan agak wajar kalau kita mahu gunakan pendekatan gaji siling ini.
"Contohnya, kalau untuk pemain yang biasa-biasa sahaja, mungkin boleh bagi sekitar RM10,000 ke RM15,000. Kalau untuk bekas pemain kebangsaan, sekitar RM20,000 sehingga RM25,000. "Kalau pemain kebangsaan, kebiasaannya sekitar RM50,000 tetapi kebanyakannya mereka sudah ada dalam pasukan yang tiada masalah kewangan seperti Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC (SFC), Sabah FC dan Terengganu FC (TFC)," katanya. Terdahulu, pemerhati bola sepak tempatan, Mohd Sadek Mustaffa menjelaskan tiada lagi istilah 'gaji kayangan' buat pemain pasukan Liga Super khususnya buat pasukan yang sentiasa bergelut dengan isu kewangan sekali gus memaksa pemain 'menghadam' situasi terbabit. Sadek yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam berkata, pasukan perlu meletakkan gaji siling sendiri dengan menawarkan gaji yang dirasakan berpatutan kepada pemain bagi membantu mengelak isu tunggakan gaji terus berulang pada musim baharu. Dalam perkembangan sama, Effendi juga melihat 'modal' RM30,000 dilihat mampu untuk 'memancing' minat pemain import beraksi di Liga M namun kualitinya mungkin dianggap berada pada tahap yang 'biasa-biasa' sahaja. Jelasnya, kualiti pemain import yang didapati dengan tangga gaji RM30,000 itu mungkin cukup untuk setakat beraksi di Liga M. Import yang berkualiti sudah pasti hadir dengan tanda harga yang lebih lumayan namun semuanya bergantung kepada kemampuan pasukan masing-masing. "Kalau nak katakan mengenai perbelanjaan pemain import ini, terpulang pada pasukan dan memang ada pasukan yang letakkan gaji siling berdasarkan bajet yang mereka ada. "Kebiasaannya pasukan membayar gaji pemain import sekitar RM20,000 ke RM40,000 tetapi untuk pasukan yang ada banyak duit, mereka boleh pergi sehingga RM85,000. "Tetapi kalau dengan tangga gaji RM30,000 ini, mungkin tahap pemain itu agak kuranglah. Boleh dapat yang bagus (pemain import) cuma mungkin setakat bagus untuk membantu pasukan di Liga M sahaja," katanya. - BH ONLINE |