Shah Alam: Kerajaan komited untuk melaksanakan agenda reformasi termasuk meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengehadkan tempoh Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses itu perlu dilaksana dengan penuh rapi dan memerlukan konsesus semua parti serta dua pertiga Ahli Parlimen termasuk daripada kerajaan.
"Ada cadangan yang saya setuju, mengehadkan tempoh Perdana Menteri (kepada) 10 tahun. Kerana kita tahu, kalau sampai 22 tahun, boleh rosak negara. Saya setuju, tetapi kita perlu runding dapatkan dukungan semua parti supaya ada dua pertiga (sokongan Ahli Parlimen).
"Jangan bimbang, kalau saya tak mungkin lepas 10 tahun. Dua tahun pun sudah penat. Saya, malah PKR dan PH (Pakatan Harapan) bersetuju. Biar ada kesediaan, persetujuan dua pertiga, saya sendiri akan mulakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kongres Kebangsaan DAP ke-18, di sini, hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung DAP Anthony Loke Siew Fook, Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Ewon Benedick.
Terdahulu, Anthony ketika menyampaikan ucapannya berharap kerajaan dapat meminda Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 24 bulan ini bagi mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada 10 tahun.
Beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, ini memandangkan janji itu terdapat dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) lalu.
Terdahulu, ketika memulakan ucapannya, Anwar yang juga Pengerusi PH berkata, dalam tempoh dua tahun Kerajaan Perpaduan mentadbir, pelbagai pencapaian dan reformasi pentadbiran dilaksanakan kerajaannya.
"Kita pinda Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memberi kebebasan kepada Parlimen walaupun pembangkang menentang dengan cara berkecuali.
"Pindaan perlembagaan bagi memartabatkan kuasa wanita, kerana tidak musabah, (apabila) 'parent' dalam rujukan Perlembagan kita adalah bapa.
"Tapi proses pindaan ini tak mudah, perlu dapat kesepakatan kesemua sekurang-kurangnya ada dua pertiga undi. Kena bawa kepada Majlis Raja-Raja Melayu, di mana ada juga pandangan mereka yang harus dibawa balik ke Parlimen.
"Ada juga pertimbangan keselamatan. Ada juga bahaya diangkut dari luar untuk melambatkan hak kewarganegaraan. Sebab itu ia mengambil masa tetapi apakah kita berundur, tidak...kita teruskan," katanya.
Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|