KUALA LUMPUR: WCE Holdings Bhd (WCEHB) menerusi anak syarikat dengan pegangan 80 peratus, West Coast Expressway Sdn Bhd mencatatkan pertumbuhan ketara hasil kutipan tol sebanyak RM32.6 juta bagi tempoh suku ketiga yang berakhir pada 31 Disember 2024, melonjak 144 peratus berbanding RM13.4 juta pada suku sama tahun kewangan sebelumnya.
WCEHB dalam satu kenyataan berkata, prestasi kukuh itu didorong oleh pembukaan bahagian tambahan, iaitu Seksyen 1 (Banting – SKVE), Seksyen 6 (Bandar Bukit Raja Utara – Assam Jawa), dan Seksyen 11 (Beruas – Taiping Selatan), yang secara kolektif menyumbang kepada peningkatan jumlah trafik.
Katanya, purata trafik harian bagi setiap bahagian tol meningkat sebanyak 96 peratus secara tahunan, mencerminkan pertumbuhan sambungan dan penggunaan lebuh raya.
"Kumpulan mencatatkan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM23.9 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025, meningkat sebanyak 95 peratus berbanding RM12.3 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024. Peningkatan ini menunjukkan bahawa operasi WCEHB kekal menguntungkan.
"Namun begitu, kumpulan mencatatkan kerugian sebelum cukai sebanyak RM36.9 juta bagi suku dikaji, berbanding kerugian RM28.5 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2024, terutamanya disebabkan oleh kos faedah yang ditanggung untuk bahagian yang telah siap, berjumlah RM55.4 juta pada suku ketiga tahun kewangan 2025 berbanding RM38.8 juta pada suku sama tahun sebelumnya," katanya.
Projek West Coast Expressway (WCE) membabitkan pembangunan lebuh raya bertol sepanjang 233 kilometer dari Banting, Selangor ke Taiping, Perak (termasuk 40 kilometer lebuh raya yang akan dibina kemudian).
Projek WCE adalah projek bina-kendali-pindahdengan tempoh konsesi sehingga maksimum 60 tahun berkuat kuasa dari 20 Disember 2013.
Setakat 31 Disember 2024, tujuh daripada 11 seksyen telah beroperasi, meliputi 170 kilometer merentasi Selangor dan Perak dengan jajaran Perak secara keseluruhan (120 kilometer) kini telah siap sepenuhnya.
Pada 22 Januari lalu, kumpulan telah menyiapkan dan membuka Seksyen 2 dari persimpangan SKVE ke persimpangan KESAS, sekali gus meningkatkan lagi sambungan ke dua lebuh raya utama ini.
Pembukaan terbaharu bagi Seksyen 1, 2, 6, dan 11 telah meningkatkan jumlah trafik harian WCE dengan ketara, dengan purata trafik harian setiap bahagian meningkat sebanyak 96 peratus secara tahunan.
Ketika perayaan Tahun Baharu Cina pada Januari 2025, kutipan tol mencatatkan kemuncak sebanyak RM700,000 sehari, melebihi rekod sebelumnya sebanyak RM600,000 pada April 2024 semasa musim perayaan.
Pembinaan bagi tiga bahagian terakhir, iaitu Seksyen 3 (KESAS – Lebuhraya Persekutuan Laluan 2), Seksyen 4 (Lebuhraya Persekutuan Laluan 2 – New North South Klang Straits Bypass (NNKSB), dan Seksyen 7 (Assam Jawa – Tanjung Karang) sedang berjalan, dengan penyempurnaan dijangka meningkatkan lagi potensi hasil.
Sementara itu, hasil pembinaan bagi projek yang sedang berjalan, termasuk Projek Seri Langat dan Seksyen 7B, meningkat sebanyak 151 peratus berbanding tahun sebelumnya susulan aktiviti pembinaan yang lebih tinggi sepanjang tempoh berkenaan.
Mengenai prospek, WCEHB berkata, kumpulan menjangkakan kerugian awal dalam tahun pertama operasi tol berikutan penamatan pemodalan faedah bagi bahagian yang telah siap, selaras dengan piawaian perakaunan.
"Namun, apabila lebih banyak bahagian beroperasi dan jumlah trafik stabil, kumpulan menjangka pertumbuhan mantap dalam hasil tol, membawa kepada aliran tunai dan keuntungan yang lebih baik," katanya.
Sumber : Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|