Setiap individu yang bekerja pasti pernah terdetik di hati untuk meletakkan jawatan dan mencari peluang di tempat baharu.
Sama ada kerana tekanan kerja, tawaran kerjaya yang lebih baik, atau isu peribadi, keputusan untuk berhenti adalah hak setiap pekerja.
Namun dalam sesetengah kes, ada majikan yang menahan malah menentang hasrat pekerja untuk berhenti, sebagaimana situasi yang dialami oleh seorang pelayar ini.
Dalam satu perkongsian di laman X, pelayar tersebut berkata dia nekad untuk berundur kerana tidak tahan menanggung bebanan kerja yang diletakkan di atas bahunya, selepas seorang pekerja senior di syarikat meletakkan jawatan.
"Senior aku resign dua bulan lepas. Bos aku dah mula bagi semua kerja dia (senior) dekat aku. Budak baru tak ada function langsung. Akhirnya aku handle semua benda sampai stres," ujarnya.
Menurut pelayar tersebut, dia bekerja di sebuah syarikat kecil dengan kakitangan kurang daripada 25 orang, justeru hanya dia sahaja yang diharapkan menggalas tugas pentadbiran, kewangan dan sumber manusia.
"Bulan ni aku bagi surat resign tapi bos cakap 'kalau kamu tiada di sini, macam mana kami nak urus dengan budak baru yang masih belum biasa dengan syarikat?'.
"Dia suruh aku resign selepas Ogos sebab syarikat akan mula e-invois pada 1 Julai dan tak ada siapa tahu pasal benda ni kecuali aku.
"Dia cakap aku memang sengaja nak berhenti sebab tak boleh ambil alih kerja senior, maksudnya aku tak berkebolehan tangani stres dan tiada kualiti kepimpinan," tambahnya lagi.
Apa yang membuatkan dirinya bertambah buntu, majikannya tidak membenarkan dia meletakkan jawatan sehingga pekerja baru diambil bagi menggantikannya.
Perkongsian individu tersebut mengundang perhatian warga maya dengan rata-ratanya menyarankan supaya dia berani bertindak mempertahankan haknya sebagai pekerja agar tidak terus ditindas.
"Bos kamu tidak boleh halang kamu hantar notis peletakan jawatan. Jika dia berkeras, beritahu dia bahawa kamu gembira untuk membawa isu ini ke jabatan buruh untuk memutuskan siapa yang betul atau salah.
"Ikut je apa yang tertulis dalam agreement kontrak kerja.Tak payah tunggu sampai bulan Ogos bagai. Majikan tak ada hak untuk tolak surat resign kita.
"Itu kan notis, bukan permohonan. Bagi saja notis peletakan jawatan dan 'blah'," demikian antara komen netizen.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|