Jika sebelum ini nyanyian pelakon Fattah Amin dikritik sebagai sumbang malah ada menjauhi bidang nyanyian, tetapi kali ini nampaknya berbeza.
Percubaan Fattah tampil dengan single terbaharu berjudul Lelaki Terakhir nampaknya membuahkan hasil apabila mendapat sambutan luar biasa pendengar.
Lebih istimewa apabila lagu tersebut ketika ini sedang berada di carta trending di YouTube dan sudah pun mendapat lebih 50,000 tontonan dalam tempoh dua hari.
Kejayaan itu juga membuatkan Fattah atau Abdul Fattah Mohd Amin, 35, terharu kerana Lelaki Terakhir merupakan lagu sangat bermakna yang menggambarkan dugaan percintaan penuh cabaran.
“Ia satu pencapaian bermakna bagi saya dan memang langsung tak sangka ia dapat sambutan baik pendengar sampai trending di YouTube.
“Lagu ini sangat bermakna bagi saya kerana ia menggambarkan perjalanan cinta yang penuh cabaran.
“Tetapi jika disertai dengan kesetiaan dan doa, cinta itu akan terus kekal hingga ke akhir hayat," katanya.
Bercakap mengenai penghasilan lagu tersebut, Fattah memberitahu bukan mudah menyiapkan Lelaki Terakhir namun sokongan ramai membuatkan dia bersemangat menyelesaikan rakaman.
Malah aktor itu berharap pendengar akan tersentuh dan mendapat inspirasi setiap kali mendengar lagu berkenaan.
“Perjalanan menghasilkan lagu ini bukan mudah tetapi sokongan peminat yang memberikan dorongan membuatkan saya bersemangat terus berkarya.
“Saya berharap lagu ini dapat memberi inspirasi dan menyentuh hati pendengar,” ujarnya.
Lelaki Terakhir adalah ciptaan komposer dan penerbit Mel Ramlan manakala lirik adalah daripada Fattah sendiri.
Lagu tersebut turut dipilih menjadi runut bunyi drama bersiri lakonan Fattah berjudul Keluarga Itu yang akan ditayangkan bermula 28 Februari ini di TV3.
Sementara itu, menerusi ruang komen di YouTube, ramai turut memuji vokal Fattah semakin baik berbanding sebelum ini kurang memuaskan.
Ramai percaya dengan teknik dan latihan yang betul, Fattah mampu pergi jauh dalam bidang nyanyian.
Malah ramai tidak terkejut sekiranya Lelaki Terakhir bakal berentap di Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40) tahun depan.
“Saya dah play 30 kali! Confirm lagu ini juara AJL tahun depan!
“Fattah boleh pergi jauh dalam bidang nyanyian tapi perlu usaha lebih lagi. Syabas Fattah!
“Semoga Fattah menjadi 'Lelaki Terakhir' untuk seorang wanita yang menghormati dan menyayangi seikhlas hati kerana Allah SWT,” antara komen netizen.
Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|