KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menegaskan penggubalan Akta Pendanaan Politik penting untuk membendung gejala rasuah khususnya membabitkan atas nama derma untuk parti politik. Justeru, beliau percaya akta berkenaan wajar digubal segera untuk membanteras gejala rasuah politik, sekali gus meningkatkan keyakinan syarikat dan pelabur asing terhadap negara. "Saya setuju penggubalan akta itu wajar disegerakan terutama dalam usaha membasmi rasuah atas nama derma untuk parti politik. "Ini kerana kelompok yang banyak terbabit dalam kes rasuah di mahkamah ialah ahli politik. "Saya yakin skor indeks rasuah di negara akan semakin baik sekiranya akta pendanaan politik dilaksanakan," katanya kepada BH. Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, mencadangkan supaya penggubalan Akta Pendanaan Politik disegerakan dengan memfokus kepada pendanaan ketika kempen pilihan raya.
Beliau berkata, cadangan itu sudah diutarakan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan undang-undang itu sangat ideal ketika ini memandangkan beberapa siri pilihan raya akan bermula tidak lama lagi. Dalam pada itu, Hassan berkata akta terbabit jika terlaksana akan membantu dalam membezakan rasuah ahli politik secara peribadi yang bersifat jenayah untuk kepentingan sendiri dengan derma politik kepada parti untuk penyertaan demokrasi yang sihat dan telus. "Paling penting, keyakinan syarikat dan pelabur asing akan dapat dipertingkatkan susulan gejala rasuah politik berupaya dibanteras dengan terlaksananya dan berkuatkuasanya Akta Pendanaan Politik . "Dalam hal lain, dengan terlaksananya akta itu, ia akan mewujudkan medan permainan atau 'playing field' yang adil antara parti politik yang menjadi kerajaan dengan parti politik bukan kerajaan," katanya. Bagaimanapun beliau menegaskan, akta itu perlu merangkumi peruntukan undang-undang yang menyatakan secara jelas bahawa dana asing dari luar negara tidak boleh menyumbang kepada parti politik tempatan. "Ini kerana kita tidak mahu kuasa asing mengambil kesempatan menguasai politik negara dengan wang ringgit dan dana mereka," katanya. November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan tiada halangan jika pengenalan Akta Pendanaan Politik mahu disegerakan. Beliau dilaporkan berkata, ketika ini cadangan bagi merangka draf undang-undang itu masih diteliti di peringkat jawatankuasa yang dilantik. Katanya, Akta Pendanaan Politik masih dikaji jawatankuasa dan jika mahu disegerakan beliau tiada halangan, bahkan Jemaah Menteri bersetuju melaksanakannya. Sumber - Berita Harian |
Namasayaomel replied at 16-2-2025 02:11 PM
hoi Hassan Abdul Karim, ko ibarat ludah ke langit jatuh kat muka sendirik...rasuah kat pasir gudang ...
ADVERTISEMENT