Pelawak Shuib Sepahtu meluahkan rasa terharu apabila mendengar pengakuan sahabatnya Mamat Sepah yang berniat untuk mendoakan kesejahteraannya ketika mengerjakan umrah kelak.
Memetik BH Online, Shuib berkata Mamat adalah sahabat paling rapat dengannya sekarang dan mengakui sedang berdepan banyak masalah.
“Inilah namanya sahabat, sentiasa ada bersama ketika susah dan senang. Pada masa sulit, boleh doakan kita. Saya tidak terfikir Mamat boleh pasang niat mahu mendoakan saya di Makkah.
“Dia banyak tahu keadaan saya. Saya bersyukur Mamat ambil tahu dan tergerak hati nak doakan saya di Tanah Suci. Sebabnya, doa seorang kawan juga Allah angkat dan kabulkan. Saya akui sedang berdepan banyak masalah yang saya boleh katakan sebagai ujian dalam perniagaan,” katanya.
Sementara itu, Shuib turut menjelaskan mengenai hutang puluhan juta seperti didedahkan Mamat dimana semua itu adalah hutang perniagaan.
“Hutang saya lebih kepada hutang berniaga termasuk dengan badan kerajaan. Contohnya, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan cukai… Semuanya membabitkan perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Shuib mendakwa perniagaannya dalam keadaan baik dan akan mengurus serta merancang dengan lebih baik pada masa hadapan.
“Saya takkan berhenti dengan rasa yakin. Saya pegang satu sahaja, selagi tidak berhenti, kita belum gagal… Perniagaan saya masih berjalan.
“Banyak benda kena betulkan. Saya sebenarnya tidak pandai dan hanya budak kampung. Tetapi Allah bagi rezeki. Saya anggap satu anugerah. Tahu atau tidak, kena buat jadi tahu,” katanya.
Sumber - BH Online, Rotikaya
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|