Seorang wanita bersama anak perempuannya dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan mencuri barangan kemas milik pelanggan mereka bernilai lebih RM20,000 ketika membersihkan sebuah rumah, tahun lalu.
Kedua-dua tertuduh, S. Wairavi, 46, dan C. Tharshini, 19, yang merupakan mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin. Berdasarkan kertas pertuduhan, Wairavi didakwa mencuri sebentuk cincin emas milik mangsa lelaki berusia 61 tahun manakala Tharshini berdepan dua pertuduhan mencuri seutas coker emas dan sepasang subang emas milik mangsa perempuan berusia 17 tahun. Kesemua kesalahan itu dilakukan antara pukul 10 pagi dan 6 petang di sebuah rumah bernombor di Taman Seri Mangga Seksyen 1 dalam daerah Melaka Tengah antara 1 Disember 2024 dan 13 Januari 2025.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib mencadangkan jaminan sebanyak RM15,000 ke atas Wairavi dan RM8,000 bagi setiap pertuduhan dihadapi Tharshini. Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan rendah dengan alasan Wairavi seorang ibu tunggal manakala Tharshini sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan undang-undang di sebuah institusi pengajian tinggi swasta. Mahkamah kemudian membenarkan kedua beranak itu dijamin RM20,000 dan menetapkan 17 Mac depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam. Sumber– KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT