CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Ibu bapa Zayn Rayyan mohon batal pertuduhan, minta dibebaskan daripada dakwaan abai kanak-kanak itu

28-1-2025 12:24 AM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 7760| Komen: 2|Original author: Raline


Screenshot 2025-01-27 204418.png


PETALING JAYA: Ibu bapa kepada kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan Abdul Matin memfailkan permohonan bagi membatalkan pertuduhan, sekali gus dilepas dan dibebaskan daripada dakwaan mengabaikan kanak-kanak itu.

Zaim Ikhwan Zahari, 30, dan isterinya, Ismanira Abdul Manaf, 30, memfailkan notis usul berkenaan menerusi Tetuan Wong & Co di Mahkamah Tinggi Shah Alam, kelmarin, dengan menamakan Pendakwa Raya sebagai responden.

Pasangan suami isteri itu memohon dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka pada 13 Jun tahun lalu, selain prosiding perbicaraan yang ditetapkan di Mahkamah Sesyen di sini ditangguhkan.

Menerusi afidavit sokongan difailkan bersama notis usul itu yang diperoleh menerusi pihak pembelaan, mereka mendakwa pertuduhan jenayah dikenakan terhadap Zaim Ikhwan dan Ismanira selaku pemohon tidak mendedahkan sebarang kesalahan mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001.

"Kami (Zaim Ikhwan dan Ismanira) membaca pertuduhan itu dan tidak menemui sebarang butiran mengenai kesalahan yang didakwa, kami tidak tahu bagaimana untuk mempertahankan diri berdasarkan pertuduhan.

"Kami tidak dapat memberi arahan kepada peguam bela kerana tidak menemui butiran dalam pertuduhan yang boleh dijawab dan tidak tahu dengan tepat apa yang dituduh pendakwaan terhadap kami, oleh itu kami tidak dapat menyediakan pembelaan," katanya dalam afidavit yang dilihat media hari ini.

Menurutnya, mereka percaya pertuduhan dihadapi tidak mematuhi Seksyen 153 dan 154 Kanun Tatacara Jenayah, sekali gus tidak diberi hak Perlembagaan untuk perbicaraan adil yang dijamin mengikut Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

"Kami benar-benar percaya pertuduhan itu harus diketepikan dan dibatalkan kerana kekurangan butiran yang serius," katanya.

Menerusi notis usul itu, semua pertuduhan jenayah dikenakan terhadap mereka adalah satu penyalahgunaan proses Mahkamah Sesyen dan kedua-dua pemohon sudah diprejudiskan dengan serius akibat daripada semua pertuduhan jenayah menyebabkan kegagalan keadilan yang memerlukan semua pertuduhan itu diketepikan dan dibatalkan.

Sementara itu, menerusi prosiding di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan dan Ismanira mengesahkan sudah menyerahkan notis usul itu kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), semalam menerusi e-mel dan meminta mahkamah menangguhkan perbicaraan yang sudah ditetapkan bermula awal Februari ini.

Beliau berkata, kedua-dua anak guamnya memfailkan notis usul itu pada 21 Januari lalu di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

"Sekiranya perbicaraan dijalankan tanpa keputusan berhubung permohonan itu, perbicaraan kes akan menjadi sia-sia, pihak kami difahamkan pendakwaan juga tiada bantahan sekiranya perbicaraan ditangguhkan," katanya.

Mendengar perkara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin mengesahkan permohonan yang dikemukakan kedua-dua tertuduh dan tiada sebarang bantahan dikemukakan terhadap notis usul itu.

"Permohonan (notis usul) baru masuk dua hari lalu, jadi pihak pendakwaan memohon satu tarikh sebutan pada minggu depan bagi mengemaskini status permohonan yang sudah difailkan," katanya.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, Hakim Dr Syahliza Warnoh kemudian menetapkan 28 Januari ini bagi pengurusan kes bagi pembelaan mengemaskini status permohonan notis usul.

Pada 13 Jun lalu, Zaim Ikhwan dan Ismanira mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya pada Disember 2023 di sekitar Jalan PJU Damansara Damai di sini, pada jam 12 tengah hari, 5 Disember hingga jam 9.55 malam pada 6 Disember 2023.

Mayat Zayn Rayyan ditemukan dalam keadaan terbaring di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Sumber : Berita Harian


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote Lolalala 29-1-2025 10:32 AM
Harap x lepas laaaa mangkuk 2 ekor ni. Tak sabar nak tunggu bicara
Quote belilies 29-1-2025 04:30 PM
Tektik nak panjangkan trial ke?

Lihat semua komen(2)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-1-2025 10:53 AM GMT+8 , Processed in 0.052107 second(s), 18 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top