CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Selebriti Tempatan Lihat artikel

Tujuh bulan Ernie Zakri bersiap untuk konsert solo

24-1-2025 05:01 PM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 5731| Komen: 1

 


Penyanyi popular, Ernie Zakri mengambil masa hampir tujuh bulan melakukan persiapan untuk konsert solo, Aura: Ernie Zakri Live in Concert yang bakal berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), malam esok.

Biarpun hanya sebulan menyediakan susunan muzik bersama pengarah muzik, Genervie Kam, dari segi energi dan fizikal, Ernie sudah melakukan persediaan sejak Jun tahun lalu, termasuk rutin senaman, sekali gus cukup bersedia tampil dengan persembahan istimewa.

Bagaimanapun, Ernie mengakui, ia bukanlah perkara mudah dan agak beremosi bila dapat meraikan peminat dalam konsert solo yang disifatkan sangat peribadi buatnya.

Biarpun berpengalaman menyanyi di pentas besar seperti Anugerah Juara Lagu (AJL), dia berpandangan ia tidak sama kerana konsert solo menggambarkan persembahan peribadi.


"Orang kata kalau nak tengok ciri-ciri seorang penyanyi dan karakter, personaliti serta bunyian, kena datang melihat konsertnya. Ini yang saya cuba berikan kepada penyokong.

"Sudah tentu saya gementar dan agak beremosi. Perasaan saya bercampur baur, apatah lagi dapat berita tiket konsert habis dijual dalam tempoh tujuh jam. Ia antara pencapaian terbaik dalam karier. Saya tak sangka sebab lokasi konsert agak besar dan boleh memuatkan 3,000 penonton.

"Bila kenang semula, sedih dan terharu silih berganti. Sekarang masanya memberikan semula kepada peminat yang menyokong saya selama ini. Saya harap ia akan menjadi malam yang dikenang dengan momen istimewa dan banyak kejutan," katanya kepada BH Online.

Ditemui ketika sesi latihan di Shoreline Space, Taman Sri Rampai di ibu negara, baru-baru ini, Ernie yang bakal menyampaikan 23 lagu pada malam berkenaan, berkata konsert istimewa itu akan menjadi pentas penuh magis bersama beberapa kejutan yang sudah dirancang.

"Sememangnya semua lagu dalam album Aura akan didendangkan, termasuk beberapa lagu popular lain. Peminat yang sudah lama mengikuti saya pasti akan tahu.

"Ini kerana ada beberapa lagu diambil daripada katalog lama. Saya sudah dedahkan senarai lagu, tapi ada peminat persoal ketiadaan beberapa lagu yang mereka minati. Namun itulah kejutan buat semua. Saya mahu peminat yang hadir rasa seolah-olah berada dalam dunia berbeza.

"Bukan 'prop' sahaja, malah dari segi emosi dan jalan cerita seperti menelusuri kisah hidup saya, ada tangis dan gembira," katanya.


Ernie berkata, dia memilih warna pastel dan tema 'dress to impress' buat peminat yang hadir konsert.

"Namun saya ada beritahu, peminat boleh berpakaian mengikut keselesaan dan jadi diri sendiri, asalkan tidak melampaui batas," katanya.

Ernie bakal menyarung beberapa busana hasil sentuhan pereka fesyen tempatan yang mempunyai jalan cerita tersendiri.

"Baju-baju saya juga ada ceritanya, setiap baju yang dirancang dengan pasukan, ada kisah tersendiri," katanya yang turut meminta nasihat Ziana Zain dan Anuar Zain, masing-masing ibu dan bapa saudaranya mengenai pementasan konsert.

"Sebelum buat persembahan besar, saya akan jumpa Ziana dan Anuar minta nasihat sebab mereka lebih berpengalaman. Anuar banyak memberikan tip, tetapi apapun saya kena jadi diri sendiri bila menghiburkan peminat.

"Keadaan Anuar dahulu berbeza kerana tiada siapa beri nasihat. Disebabkan itu, dia mahu beri galakan dan sokongan kepada saya. Bukan sahaja Ziana dan Anuar, ada juga penyanyi senior lain memberikan semangat kepada saya. Saya terharu atas sokongan ramai.

"Pada penghujungnya, peminat datang nak tengok Ernie Zakri, jadi saya jalan sahaja dan tak mahu terlalu banyak berfikir," katanya.

Sumber : - Berita Harian

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote Inigo-Montoya 24-1-2025 06:58 PM
ok baik

Lihat semua komen(1)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

2-2-2025 03:54 PM GMT+8 , Processed in 0.033941 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top