Penyanyi Nubhan mendedahkan ibu tersayang, Badariah Omar atau Mak Jenny, 80, takut dengan momokan orang sekeliling yang mengatakan andai melakukan pembedahan lutut dia tidak akan mampu berjalan lagi.
Nubhan atau nama sebenarnya, Ahmad Nubhan Haji Ahamad berkata, hati ibunya kini berbolak-balik sama ada ingin meneruskan pembedahan namun, sebagai anak dia hanya menginginkan yang terbaik buat syurganya itu.
“Saya dah tanya pakar. Mak saya punya lutut dah stage 4, dah ‘haus’. Kalau kita buat rawatan suntikan (pada bahagian lutut), dah tak jadi (jalan).
“Doktor saran untuk lakukan pembedahan tapi mak tak nak dengar cakap doktor. Dia dengar cakap kawan-kawan dan mak cik mak cik sambal belakang rumah (ketawa).
“Dia dimomokkan dengan pendapat kawan yang mengatakan kalau bedah nanti tak boleh jalan lagi. Untuk sekarang tunggu mak punya keputusan sahajalah dan yakinkan untuk buat pembedahan,” katanya kepada Kosmo! Online.
Jelas pelantun lagu Ada Untukmu itu, saranan doktor adalah melakukan pembedahan selagi ibunya itu masih boleh berjalan seperti sekarang kerana proses penyembuhan lebih tinggi berbanding ketika usia lebih lanjut nanti.
“Doktor kata, waktu mak (masih) lagi boleh berjalan, boleh buat ‘full knee replacement’. Kalau dah tak boleh berjalan nanti, buat pembedahan dah tak guna nanti.
“Macam masa pembedahan buang rahim dulu, doktor ada cakap ada kemungkinan mak tak bangun sebab usia dia sudah banyak. Tapi alhamdulillah, Allah permudahkan urusan.
“Untuk lututnya juga saya harap begitu. Mak pula memang sejenis yang suka berjalan dan terbang sini sana, saya mahukan yang terbaik buatnya,” katanya lagi.
Mak Jenny popular selepas Nubhan, 40, mula berkongsi video-video lucu bersama syurganya itu yang kemudiannya menjadi trending dalam kalangan netizen termasuk menerima tajaan melancong dan sebagainya.
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|