KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa sistem waktu bekerja berlainan (WBB) yang bakal dikuatkuasakan kepada pekerja penjagaan kesihatan awam, ditangguhkan.
Beliau berkata, jika WBB dikuatkuasakan, lebih ramai doktor akan keluar daripada terus berkhidmat di hospital kerajaan.
Katanya, terdapat ketetapan dalam sistem itu jika syif tugas doktor ditukar untuk bekerja selama 18 jam dari jam 3 petang hingga jam 9 pagi keesokannya, mereka tidak mendapat elaun 'on call'.
"Maksudnya ada 18 jam (waktu bekerja) dan 18 jam ini tidak dikira 'on call', bermakna dia kena kerja ini
"Saya nak tanya siapalah yang buat ni? Tahu tak yang (waktu bekerja) jam 3 (petang) sampai 9 pagi, 18 jam kerja. Kerja tengah malam ini tak sama macam kita yang kerja daripada jam 8 pagi ke 5 petang," katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, doktor hanya dibenarkan mendapat elaun 'on call' sekiranya mereka bekerja 18 jam untuk syif jam 3 petang hingga 9 pagi pada cuti umum dan hujung minggu sahaja.
"Macam mana kita nak hargai doktor? Sudahlah doktor tak ramai.. buat macam ini lagi ramailah doktor kita keluar esok," katanya,
Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkata beliau bersetuju dengan sebarang penambahbaikan dalam sistem penjagaan kesihatan awam, namun WBB bukan penambaikan yang diharapkan.
"Saya nak ucapkan terima kasih juga kepada Menteri Kesihatan (Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad), tadi YB Dr Dzul menyatakan bahawa sistem ini langsung tidak dirujuk kepada beliau.
"Dia pun tak tahu tapi ini surat dah keluar dan sudah berkuat kuasa. Dalam (surat) ini tulis sudah berkuat kuasa serta merta dan bila tarikh surat dikeluarkan.
"Dan dalam ini juga (surat), sudah tulis sistem WBB sudah dibentangkan kepada JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam) pada bulan lalu (Disember).
"Jadi macam mana ni? Celaru betul kita ni.. kita mintalah sistem ini ditangguhkan dahulu," katanya.
Menerusi hantaran sama, Dr Muhammad Akmal turut menunjukkan satu dokumen bertajuk Pelaksanaan Sistem Waktu Bekerja Berlainan (WBB) Fasa Pertama bertarikh 10 Januari yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Antara kandungan surat itu menyebut WBB diluluskan untuk projek Fasa Pertama oleh Ketua Setiausaha KKM pada 3 Januari lalu di beberapa jabatan di hospital terpilih.
Antaranya, Jabatan Pediatrik Hospital Tuanku Azizah (NICU/PICU), Jabatan Perubatan Hospital Slim River, Jabatan Obstetrik & Ginekologi Hospital Putrajaya dan Jabatan Ortopedik Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Hospital Melaka.
Terdahulu, Dr Dzulkifly hari ini dilaporkan berkata sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam masih di peringkat cadangan dan belum mendapat kelulusan untuk dilaksanakan.
"WBB sebenarnya adalah satu cadangan yang masih di peringkat cadangan. Apa pun ini (hanya) cadangan, masih dalam status cadangan dan belum sampai kepada saya, (apatah lagi) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Malangnya semacam didedahkan, mungkin sengaja didedahkan. (Apa pun) saya belum lagi meluluskan cadangan ini," katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Murid Sekolah di Putrajaya, hari ini.
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebelum ini menyuarakan kebimbangan pelaksanaan WBB untuk pekerja penjagaan kesihatan awam akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada, menyebabkan doktor dibebani tugas berlebihan dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.
Sistem perintis itu dikatakan boleh menyebabkan kerugian pendapatan bagi pegawai perubatan dan pakar.
Di bawah sistem baharu ini, elaun 'on-call' pada hari bekerja tidak akan diberikan dan syif malam akan dianggap sebagai waktu kerja biasa dalam tempoh 45 jam seminggu.
Sumber : Berita Harian
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|