KUALA LUMPUR: True Air Sdn Bhd menamatkan operasinya selepas membuat pertimbangan teliti terhadap pelbagai faktor, termasuk cabaran dalam persekitaran kawal selia, kekangan operasi dan landskap penerbangan. Dalam satu kenyataan, syarikat penerbangan yang dahulunya dikenali SKS Airways Sdn Bhd, berkata antara faktor yang diambil kira adalah kesedaran bahawa operasi penerbangan antara pulau menggunakan pesawat Twin Otter tanpa geran kerajaan bukanlah model perniagaan yang mampan. "Pengendalian pesawat jet sebagai syarikat penerbangan permulaan juga terbukti mencabar, yang seterusnya menyumbang kepada keputusan sukar ini," katanya. Sejak penubuhannya, True Air berkata, ia komited untuk menyediakan perkhidmatan perjalanan udara yang selamat dan boleh dipercayai, dengan usaha untuk menyumbang secara bermakna kepada sektor penerbangan Malaysia.
"Namun begitu, perubahan keadaan dan kerumitan industri telah memberikan cabaran yang menjadikan operasi syarikat tidak dapat diteruskan," katanya. Menurut kenyataan itu, selaras dengan nilai integriti dan tanggungjawab True Air, syarikat itu akan memastikan proses penutupan operasi dijalankan secara teratur. "Kami komited untuk memenuhi semua tanggungjawab, memastikan semua komitmen kewangan yang tertunggak dilunaskan sepenuhnya, dan tidak meninggalkan sebarang hutang. "Kami ingin mengucapkan penghargaan yang mendalam kepada pekerja, pelanggan, rakan kongsi dan badan pengawal selia, khususnya Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM), atas bimbingan dan kerjasama mereka sepanjang operasi kami. "Walaupun ini menandakan berakhirnya operasi True Air, kami tetap berbangga dengan sumbangan kami dan kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan selama bertahun-tahun. Kami berharap dapat terus menyokong ekosistem penerbangan Malaysia dalam kapasiti lain pada masa akan datang," katanya. Sumber : Berita Harian |
gold_teeth replied at 17-1-2025 12:50 PM
Terbang dari and ke mana airlines ni
ADVERTISEMENT