DUNIA seni tanah air bagaikan pentas lakonan tanpa henti. Belum reda babak pelawak tersohor dirantai isu dadah, kini skrin drama hiburan sekali lagi bergetar dengan kisah tragis keganasan rumah tangga. Seperti deja vu yang tidak diminta, skrip sama berulang, cuma kali ini lebih kusut dan penuh plot ‘twist’ yang memualkan. Minggu ini, nama Zahnita Wilson kembali menghiasi laman media dan bibir netizen. Beberapa bulan lalu, pelakon juga model yang suatu ketika dahulu digelar ‘permata dunia fesyen’, membuka kisah pedih rumah tangganya, sebuah naratif penuh luka yang terpendam selama 20 tahun. Pemilik nama penuh Zahnita Dorothy Hussein Wilson mendedahkan sudah tidak tahan dengan sikap suami panas baran yang secara tidak langsung mendorongnya meninggalkan dunia glamor untuk membina kehidupan di Kuantan. Persoalan siapa mangsa, siapa pelaku keganasan bergetar kencang. Gambar mata lebam yang dimuat naik wanita berusia 40 tahun itu dalam Instagram seperti isyarat terakhir kepada dunia bahawa rahsia gelapnya tidak mampu disimpan lagi. Perceraian akhirnya difailkan pada 3 Disember 2024, menandakan tamatnya era dua dekad penuh duri dalam hidupnya. Namun, seperti sinetron epik yang disulami plot twist, kisah mereka jauh daripada penamat mudah. Ketika sokongan dan simpati mengalir deras ke arah Zahnita, suaminya, Abd. Zackery Ghouse Abd. Gafor mengejutkan semua dengan pengakuan berbeza menukar warna cerita. Lelaki 47 tahun itu mendakwa dia bukan suami kejam seperti yang digambarkan, sebaliknya mangsa keganasan rumah tangga selama hidup bersama Zahnita. “Seluruh dunia anggap saya ini ‘monster’, pemukul isteri, penganiaya anak-anak, tetapi kebenarannya, saya ayah yang cuba melindungi keluarga” tegasnya. Usahawan perlombongan itu mendakwa pergaduhan mereka pada November lalu bermula kerana Zahnita menyewa rumah untuk perniagaan makanan tanpa persetujuannya.
|
ADVERTISEMENT