CariDotMy

 Forgot password?
 Register
CariDotMy Portal Portal Utama Kesihatan Lihat artikel

Tabiat tergigit lidah ketika tidur petanda hidap kanser

17-12-2024 08:31 PM| Diterbitkan: CARI-MRO| Dilihat: 29773| Komen: 1



Kuala Lumpur: "Tidak pernah terlintas di fikiran, tabiat tergigit lidah ketika tidur menjadi petanda saya menghidap kanser lidah," kata Mohd Yazid Baharudin, 40.

Menceritakan pengalaman berdepan penyakit itu, Mohd Yazid berkata, dia menyedari tabiat berkenaan sejak tahun lalu.

"Ketika tidur, saya sering tergigit lidah, namun kesan gigitan itu akan sembuh dalam tempoh dua hari sebelum tabiat berkenaan berulang dan tergigit di tempat sama.

"Pada mulanya, saya tak merasa apa-apa tetapi lama-kelamaan saya rasa semakin sakit pada bahagian lidah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Yazid yang juga pengurus pemasaran berkata, dia mengalami ulser pada bahagian lidah pada Julai lalu.

"Saya ada membeli ubat di farmasi untuk menghilangkan ulser tetapi hampir sebulan saya menggunakan ubat berkenaan ulser tidak hilang malah semakin besar.


"Kemudian saya dirujuk ke pakar bedah mulut di Hospital Selayang yang mengambil sampel pada lidah sebelum disahkan menghidap kanser lidah tahap dua pada 25 November lalu dan terus merebak ke tahap empat," katanya.

Menurutnya, dia tidak begitu terkejut apabila disahkan menghidap kanser lidah memandangkan arwah ibunya juga penghidap kanser payudara.

"Sejujurnya, saya reda dan sentiasa bersedia dengan apa sahaja perkara yang sudah ditakdirkan.

"Malah, penyakit ini bukanlah satu alasan yang boleh melemahkan semangat saya untuk terus kuat kerana ramai pesakit kanser boleh sembuh," katanya.

Sementara itu, Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) menawarkan rawatan brakiterapi hibrid yang memberi peluang kepada Mohd Yazid untuk melawan kanser tanpa kehilangan fungsi asas percakapan.

Pakar Perunding Otorinolaringologi-pembedahan kepala dan leher (ORL-HNS) IPPT) Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Dr Muhammad Yusri Musa berkata, rawatan itu adalah alternatif kepada pembedahan tradisional yang membolehkan sel kanser dimusnahkan tanpa membabitkan pemotongan lidah.

"Kaedah ini direka untuk pesakit yang tidak mahu atau tidak boleh menjalani pembedahan besar.

"Dalam tempoh lima tahun terakhir, teknik ini terbukti dapat membantu ramai pesakit termasuk yang berada pada tahap kritikal seperti Mohd Yazid," katanya.

Mohd Yazid dijadualkan menjalani rawatan itu di IPPT USM, Bandar Putra Bertam, Pulau Pinang pada 23 Disember ini.

Pengasas Jiwa Amal Malaysia, Syed Zainal Abidin Jamalullail berkata, Mohd Yazid memerlukan kos rawatan kanser sebanyak RM150,000.

"Kos itu meliputi kos rawatan semasa, kos pembedahan brakiterapi serta kos rawatan selepas pembedahan.

"Kebolehan bercakap adalah perkara paling penting dalam kerjaya Mohd Yazid yang bertugas di bahagian pemasaran selain dia juga seorang yang ceria dan suka bercakap.

"Mohd Yazid memerlukan pembedahan segera supaya sel kanser tidak merebak ke bahagian lain yang boleh mengancam nyawanya," katanya.

Beliau turut berharap orang ramai dapat membantu menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban Mohd Yazid.

Orang ramai boleh menyalurkan sumbangan kepada Mohd Yazid ke akaun Ambank Jiwa Amal Malaysia bernombor 8881-0591-3663-6 atau menghubungi talian 019-3770361.


Sumber : Harian Metro

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan
Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote lanacondor 17-12-2024 09:03 PM
Semoga Allah beri kesembuhan..

Lihat semua komen(1)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

18-12-2024 11:48 AM GMT+8 , Processed in 0.031751 second(s), 14 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top