Bintang muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar ketika ini sedang 'berguru' di Bangkok, Thailand dalam persiapannya untuk kembali ke gelanggang pertarungan ONE Championship, bulan depan. Johan, 18, atau mesra disapa Jojo dijadual membuat perhitungan dengan jaguh Colombia yang tidak pernah tewas, Johan Estupinan dalam ONE 170 di Impact Arena di Bangkok pada 24 Januari ini. Katanya, dia sudah dua bulan berada di Thailand bagi menjalani kem latihan selepas berpisah dengan jurulatihnya, Addy Singpayak pada September lalu. "Saya sudah berada di kem ini (Bangkok) hampir dua bulan dan ia sungguh menakjubkan, kem terbaik yang pernah saya sertai. Saya telah berlatih dan bertarung dengan beberapa petarung hebat. "Saya belajar banyak perkara dan saya berada dalam keadaan cergas sepenuhnya dan bersedia. Sudah tentu, saya 100 peratus yakin saya boleh menewaskannya (Estupinan)," katanya dalam temu bual bersama BH Sukan dan NST, hari ini.
Mengulas mengenai Estuipinan, 22, atau diberi julukan "Panda Kick", Johan berkata lawannya itu adalah seorang petarung yang boleh menjadi "gila" dan juga mampu mengubah strateginya secara spontan. "Estupinan adalah seorang petarung yang sangat agresif dan berbeza. Saya telah mempelajari cara untuk menangkis pukulannya kerana dia adalah seorang petarung yang sangat 'gila'. "Saya boleh memilih untuk bertarung secara gila dengannya atau kekal tenang dan menangkis pukulannya. Saya sedang mempelajari kedua-duanya (dalam latihan). "Sejujurnya, ia bergantung kepada situasi. Saya tidak boleh memastikan bagaimana dia akan bertarung pada hari itu kerana dia boleh mengubah strateginya pada bila-bila masa. "Tetapi saya akan bersedia. Jika saya perlu bersabar, saya akan bersabar. Jika saya perlu menekan, saya akan menekan," katanya yang mempunyai rekod enam kemenangan dan satu kekalahan dalam ONE Championship. Tambah Johan, dia tidak gentar dengan rekod Estupinan yang masih belum pernah tewas. Lawannya itu mencatat rekod 4-0 sejak menyertai ONE Championship tahun ini tetapi rekod profesional keseluruhannya adalah 26-0. "Memang benar dia tidak pernah kalah, tetapi anda perlu ingat bahawa lawan-lawannya sebelum ini tidak begitu hebat, hanya biasa-biasa sahaja. "Ia adalah rekod yang baik tetapi pada masa yang sama ia tidak membawa banyak makna kepada saya," katanya. Sumber – Berita Harian |
ADVERTISEMENT