KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini diperintahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membayar RM400,000 kepada Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, sebelum 31 Disember ini. Jumlah itu adalah sebahagian daripada ganti rugi saman fitnah berjumlah RM1.402 juta yang perlu dibayarnya kepada Guan Eng melalui perintah mahkamah sama pada 8 November lalu. Pada 9 Disember lalu, Muhyiddin memohon pembayaran ganti rugi itu ditangguhkan sementara menunggu rayuannya diputuskan, dengan alasan jumlah penghakiman berkenaan adalah besar dan memerlukan masa untuk mengumpul amaun berkenaan. Pada prosiding dalam kamar hakim hari ini, Hakim Roz Mawar Rozain, memberi penangguhan bersyarat kepada Muhyiddin dengan memerintahkan bekas Perdana Menteri itu membayar RM400,000 sebelum atau pada 31 Disember ini manakala baki ganti rugi terbabit sebelum atau pada 27 Januari tahun depan.
Perkara itu disahkan peguam Guan Eng, Chetan Jethwani dan Guok Ngek Seong yang bertindak bagi pihak Muhyiddin, kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. Pada 9 Disember lalu, Guan Eng selaku pemiutang penghakiman mengemukakan permohonan untuk mengeluarkan notis kebankrapan terhadap Muhyiddin yang dinamakan sebagai penghutang penghakiman. Permohonan itu menyatakan jumlah yang dituntut membabitkan jumlah penghakiman RM1.35 juta, kos tindakan RM50,000 dan alokatur RM2,000. Notis kebankrapan itu menyatakan dalam tempoh tujuh hari selepas penyampaian (notis) berkenaan, Muhyiddin mesti membayar RM1.402 juta seperti dituntut melalui penghakiman muktamad Mahkamah Tinggi, yang belum ditangguh pelaksanaannya. Ia juga menyatakan, Muhyiddin hendaklah menjamin jumlah tuntutan itu kepada Guan Eng dan mahkamah serta memenuhi beliau mempunyai tuntutan balas dan tuntutan silang Guan Eng menyamai atau melebihi jumlah dituntut. Roz Mawar membenarkan tuntutan saman fitnah Guan Eng berhubung isu pembatalan pengecualian cukai kepada Yayasan Albukhary, dan memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi RM1.35 juta pada 8 November lalu. Roz Mawar mendapati Guan Eng berjaya membuktikan kesnya terhadap Muhyiddin melalui prinsip imbangan kebarangkalian, iaitu beban pembuktian bagi proses tuntutan saman sivil. Mahkamah memerintahkan Muhyiddin membayar ganti rugi am kepada Guan Eng sebanyak RM1.05 juta, dan ganti rugi teruk serta teladan masing-masing berjumlah RM150,000. Pada 27 Mac 2023, Guan Eng memfailkan saman terhadap Muhyiddin kerana didakwa mengeluarkan tiga kenyataan berunsur fitnah di Facebook berhubung isu pengecualian cukai pada 9, 11 dan 12 Mac 2023. Laporan itu kemudian diterbitkan beberapa akhbar dan portal berita. Guan Eng mendakwa kenyataan fitnah itu juga bermaksud beliau menyalahgunakan kedudukan dan kuasanya dengan memberi kuasa atau mengarahkan LHDN mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan itu, sedangkan mereka tidak sepatutnya dikenakan cukai. Sumber – BH ONLINE |
ADVERTISEMENT