DAMSYIK – Pencarian dilakukan terhadap bekas presiden, Bashar al-Assad dengan pemberontak menyoal siasat pegawai-pegawai tentera dan perisikan Syria yang mungkin mengetahui lokasi beliau, lapor laman berita mint sebentar tadi. Sebagai sebahagian pencarian mereka, sumber terbuka laman-laman web pemantauan penerbangan mendedahkan bahawa pesawat terakhir yang meninggalkan Damsyik ialah sebuah kapal terbang Illyushin-76 dengan nombor penerbangan Syrian Air 9218. Pesawat itu berkemungkinan besar membawa Bashar. Penerbangan tersebut berlepas tidak lama sebelum pejuang-pejuang pemberontak menawan lapangan terbang Damsyik. Ia berlepas ke timur sebelum mengubah haluan ke utara, namun isyaratnya hilang tidak lama kemudian ketika Penerbangan 9218 berada di ruang udara Homs. Sementara itu, media sosial tular dengan beberapa teori khususnya menyatakan bahawa pesawat membawa Bashar telah terhempas.
“Kehilangan dan perubahan altitud mengejut menunjukkan pesawat ini ditembak jatuh,” kata seorang netizen. Maklumat belum disahkan tersebar mengenai kehilangan tiba-tiba pesawat tersebut dari radar, manakala altitudnya jatuh dari 3,650 meter kepada 1,070 meter dalam masa beberapa minit sahaja di luar ruang udara Lebanon di utara Akkar. Data tiga dimensi flight radar menunjukkan pesawat yang dipercayai membawa Bashar itu terhempas. – AGENSI Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT