KUALA LUMPUR: Pengumuman Tan Sri Hamidin Mohd Amin tidak akan mempertahankan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal yang akan datang mencetuskan persoalan siapa yang layak untuk berada di kerusi panas itu. Sebelum ini sudah muncul spekulasi mengaitkan beberapa nama individu yang bakal menjadi calon bagi mengisi jawatan Presiden FAM pada kongres pemilihan yang akan berlangsung pada 15 Februari depan. Antara nama yang terpalit dengan khabar angin berkenaan termasuk Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub yang dikatakan menjadi antara calon bakal dicadangkan oleh ahli gabungan untuk jawatan itu. Berdasarkan laporan media sebelum ini yang memetik sumber mendakwa nama Joehari yang juga Naib Presiden FAM dicadangkan dalam satu pertemuan tertutup bersama beberapa ahli gabungan. Bagaimanapun, cadangan itu dikatakan belum mendapat kata putus dan masih belum pasti sama ada nama Joehari akan dicalonkan atau sebaliknya.
Selain Joehari, terdapat juga spekulasi mengenai salah seorang wakil ahli gabungan yang berpangkalan di Lembah Klang bersedia untuk bertanding merebut jawatan Presiden FAM. Khabar angin mendakwa individu berkenaan adalah Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Datuk Seri Shahril Mokhtar yang juga bekas Exco FAM. Terdahulu, Hamidin pada sidang media selepas mesyuarat Exco FAM, hari ini mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatan Presiden FAM yang disandangnya sejak 2018. "Saya pun sudah enam tahun setengah, saya berasa cukup untuk beri ruang kepada individu lain bagi memimpin dan membawa persatuan yang besar ini ke mercu kejayaan yang lebih baik. "Itu keputusan saya selepas berbincang dengan keluarga. Jadi saya fikir tiada apa pun yang pelik, presiden dan exco baharu yang akan datang mungkin lebih baik daripada saya dan boleh bawa FAM pergi lebih jauh. "Tak ada (kaitan dengan desakan penyokong), itu memang keputusan saya. Bukan sekarang, saya sudah lama buat keputusan untuk habiskan penggal ini," katanya pada sidang media di Wisma FAM. Untuk rekod, Hamidin dipilih menjadi Presiden FAM pada 2018 bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan Tunku Mahkota Ismail sebelum beliau menang tanpa bertanding pada kongres pemilihan bagi penggal 2021-2025. Sumber :– Berita Harian |
ADVERTISEMENT