Las Vegas: Sylvester Stallone mencetuskan kontroversi apabila mendakwa kemenangan dominan Jake Paul ke atas juara dunia dua kali, Mike Tyson, adalah hasil perlawanan yang sudah diatur. Paul, 27, menguasai sepenuhnya perlawanan minggu lalu dengan Tyson, yang 31 tahun lebih tua daripadanya. Paul berjaya melakukan 78 tumbukan sepanjang perlawanan yang berlangsung selama 16 minit, manakala Tyson hanya mampu melakukan 18 tumbukan sambil cuba bertahan untuk menghabiskan pertarungan penuh kontroversi itu. Sebaliknya, Daniel Dubois, juara heavyweight IBF, melakukan 79 tumbukan dalam lima pusingan untuk menewaskan Anthony Joshua di Wembley pada September lalu. Selepas kemenangan, Paul mendakwa bahawa dia sengaja menahan diri daripada menjatuhkan Tyson, bekas juara heavyweight tanpa tandingan. Stallone yang terkenal dengan wataknya sebagai peninju ikonik Rocky Balboa, mendakwa Tyson 'membiarkan' Paul menumbuknya dan mempamerkan persembahan yang boleh dianggap layak menerima anugerah Oscar. "Perniagaan adalah perniagaan. Kadang-kadang anda perlu melakukan perkara yang sukar dan berkorban demi membantu keluarga anda. "Saya sudah mengenali atlet luar biasa ini (Tyson) sejak dia berusia 19 tahun, dan apa yang kita lihat ialah dia memberikan salah satu persembahan Oscar. "Tolonglah, Jake, bersyukurlah. Dia sudah menyelamatkan nyawa anda. Percayalah kepada saya. Teruskan menumbuk. Mike, tiada lelaki dan pahlawan seperti kamu. "Teruskan berjuang, juara segala juara! Saya ingat satu ketika dahulu ketika saya terlanggar Tyson, ia seolah-olah saya nerlanggar dengan jentolak," tulis Stallone di Instagram. Stallone bukan satu-satunya selebriti yang menguatkan naratif bahawa perlawanan Netflix di Texas antara Paul dan Tyson sudah diatur. Sumber : Harian Metro |
ADVERTISEMENT