KUALA LUMPUR: Malaysia menghantar nota bantahan kepada Filipina berkaitan dua akta maritim baharu negara itu yang melanggar sempadan maritim Sabah hari ini, kata Timbalan Menteri Luar Datuk Mohamad Alamin. Beliau berkata Akta Zon Maritim Filipina (Philippine Maritime Zones Act) dan Akta Laluan Laut Kepulauan Filipina (Philippine Archipelagic Sea Lanes Act) yang ditandatangani Presiden Ferdinand Marcos Jr pada 8 Nov lepas disahkan telah melangkaui Peta Baharu Malaysia 1979 yang dibuat berdasarkan undang-undang antarabangsa. Beliau berkata terdapat dokumen rujukan akta berkenaan turut menyentuh soal tuntutan negara itu terhadap Sabah. “Kita telah pun memuktamadkan dan mempertimbangkan beberapa isu utama yang akan kita masukkan dalam nota bantahan kita. “Nota bantahan ini, kita akan hantar hari ini juga demi menunjukkan komitmen kita bahawa hak kedaulatan Sabah dan negara kita akan terus kita pertahankan,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Luar di Dewan Rakyat hari ini. SUMBER: – Buletin TV3 |
ADVERTISEMENT