NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres, semalam menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bagi membantah undang-undang baharu yang boleh merencatkan Agensi Bantuan dan Kerja PBB Untuk Pelarian Palestin (UNRWA). Peraturan diluluskan Parlimen Israel itu dijadualkan mula berkuat kuasa dalam tempoh tiga bulan, dengan antara lain bakal melarang agensi PBB terbabit beroperasi di Israel dan Baitulmaqdis Timur yang diduduki. Ia juga menghalang UNRWA daripada berkomunikasi dan berkoordinasi dengan pihak berkuasa Israel, yang secara dasar boleh menamatkan peranan agensi itu di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki. Israel telah sekian lama tidak sependapat dengan UNRWA, malah menuduh beberapa kakitangan agensi itu terbabit dalam serangan dilancarkan pejuang Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.
Dalam surat diutuskan yang dilihat oleh AFP, Guterres berkata, undang-undang itu boleh memberi 'kesan dahsyat' terhadap rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Beliau menekankan, ia kerana tiada alternatif yang munasabah kepada UNRWA untuk memberi bantuan dan sokongan yang amat diperlukan penduduk terbabit. "Saya merayu kepada anda dan kerajaan Israel supaya mencegah kesan dahsyat sedemikian, serta membenarkan UNRWA meneruskan aktiviti di wilayah Palestin yang diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, selaras tanggungjawabnya bawah undang-undang antarabangsa," tulis Guterres. UNRWA ditubuhkan pada 1949 oleh Perhimpunan Agung PBB selepas perang pertama Arab-Israel, tidak lama setelah pewujudan Israel pada Mei 1948 yang diikuti kehilangan tempat tinggal rakyat Palestin secara besar-besaran. Guterres menegaskan bahawa bawah undang-undang antarabangsa, pihak kuasa pendudukan mesti melaksanakan mekanisme untuk membantu rakyat yang tinggal di wilayah diduduki itu. "Israel sebagai kuasa pendudukan, terus dikehendaki memastikan keperluan penduduk dipenuhi. "Sekiranya Israel tidak berada dalam kedudukan bagi memenuhi keperluan sedemikian, ia mempunyai obligasi untuk membenar serta memudahkan aktiviti PBB termasuk UNRWA, dan agensi kemanusiaan lain, sehingga keperluan pelarian Palestin di wilayah Palestin yang diduduki itu dipenuhi," tulisnya lagi. - AFP Sumber : Berita Harian |
ADVERTISEMENT