IPOH: Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, mahu mengambil tindakan sivil terhadap Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang didakwa memfitnahnya berkait perarakan yang tular dengan insiden kibar bendera China di Dataran Menara Condong Teluk Intan, malam tadi. Kor Ming yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata, pegawai khasnya sudah membuat laporan polis berhubung kenyataan Razman terbabit, di Balai Polis Teluk Intan, hari ini. "Saya juga mengarahkan peguam untuk mengkaji kes ini dan sekiranya didapati berasas, 'see you (Razman) in court' (jumpa anda di mahkamah). "Saya rasa rakyat boleh melihat sendiri (dakwaan) tohmahan dilemparkan ke atas diri saya... kononnya saya merasmikan perarakan itu tetapi malam tadi, saya bermesyuarat di Kuala Lumpur. Bagaimana saya boleh berada di dua tempat pada masa sama? Jelas ini adalah pembohongan.
"Razman (didakwa) kata saya anjurkan (perarakan itu), tetapi bukan anjuran saya pun," katanya kepada pemberita selepas melawat Pangsapuri Jalan Hospital, di sini, hari ini. Terdahulu, media melaporkan Razman menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden tular bendera China dikibarkan, dengan mendakwa ia berlaku ketika Pesta Tanglung Teluk Intan yang turut dihadiri Kor Ming dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Bedamar, Woo Kah Leong, 13 September lalu. Bagaimanapun, kejadian terbabit disahkan bukan berlaku ketika Pesta Tanglung, sebaliknya pada Sambutan Guan Gong Sedunia yang baru berlangsung malam tadi. Mengulas lanjut, Kor Ming menegaskan bahawa beliau dan Kah Leong tidak terbabit penganjuran sambutan yang melanggar syarat permit itu. "Bagaimanapun yang penting, saya berharap penganjur iaitu Persatuan Kebudayaan Guan Gong, lebih sensitif dan saya mahu warga asing menghormati undang-undang negara kita. "Kedaulatan negara wajib dihormati supaya insiden sedemikian tidak berulang lagi," katanya. Terdahulu, Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, dilaporkan berkata penganjur perarakan itu sudah dipanggil untuk dirakam keterangan. Beliau dipetik berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang Kebangsaan 1949 kerana mengibarkan bendera asing di tempat awam, dan Seksyen 4(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana melanggar syarat permit. Perarakan berunsur keagamaan dan membabitkan kereta berhias itu dilaporkan berlangsung dari jam 8 hingga 11.30 malam tadi, dengan disertai kira-kira 400 penonton. SUMBER : Berita Harian |
ADVERTISEMENT