CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Isu Semasa Lihat artikel

Adilkah suami isteri guru DG48 dilabel T15, dikecualikan subsidi? - Ka Siong

23-10-2024 06:03 PM| Diterbitkan: CARI-HBZ| Dilihat: 33209| Komen: 15|Original author: EJALTI

 

 

 

KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta memperhalusi klasifikasi kelompok 15 peratus teratas rakyat berpendapatan tinggi atau lebih dikenali T15 yang akan dikecualikan daripada beberapa subsidi kerajaan tahun depan.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata ini kerana takrifan sedia ada T15 yang merangkumi mereka berpendapatan RM13,295 sebulan ke atas sebagai golongan maha kaya adalah tidak adil.

Takrifan itu, katanya berdasarkan kepada data pendapatan isi rumah daripada Kajian Pendapatan Isi Rumah (HIS) dan Kajian Perbelanjaan Isi Rumah (HIES) oleh Jabatan Perangkaan sehingga 2022.

"Ini bermakna tokoh korporat dan jutawan termasuk dalam kategori ini, begitu juga pasangan suami isteri yang kedua-duanya adalah guru gred DG48 atau penjawat awam gred M48.... adakah ini adil," katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Berdasarkan rekod, gaji bulanan bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG48 adalah minimum RM5,125 dan maksimum RM11,640 dengan kadar kenaikan tahunan RM250. Untuk Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik, gaji bulanan kakitangan gred M48 pula minimum RM5,206 dan maksimum RM11,764, dengan kenaikan tahunan RM270.

Dalam pada itu, Ka Siong menegaskan kumpulan T15 tidak sepatutnya dihukum dengan dikecualikan daripada beberapa subsidi kerajaan kerana mereka juga menyumbang dengan ketara kepada ekonomi negara.


"Ini seolah-olah menghukum pasangan suami isteri yang rajin bekerja setiap hari untuk memperoleh RM13,295 sebulan.

"Mana mungkin gaya hidup pasangan guru ini setaraf dengan jutawan," katanya.

Ahad lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli dilapor berkata pengelasan kategori T15 yang tidak akan menerima manfaat subsidi pada tahun depan seperti dinyatakan dalam Belanjawan 2025, sedang diperhalusi bagi memastikan penyasaran subsidi dilakukan dengan lebih adil.

Beliau berkata, T15 berkenaan adalah kaedah pengelasan baharu, bukan menggunakan pendapatan isi rumah kasar semata-mata, dengan proses menambah baik berdasarkan pendapatan isi rumah bersih sedang berjalan.

Dalam pada itu, Ka Siong berkata kerajaan juga mengelirukan orang ramai dengan menggunakan pendapatan sebagai kriteria subsidi, walaupun sebelum ini berjanji untuk tidak berbuat demikian.

Katanya, pelaksanaan dasar kerajaan terutamanya formula Budi MADANI untuk subsidi diesel dan petrol, tidak konsisten.

"Kerajaan sebelum ini menyatakan pendapatan tidak akan digunakan sebagai ambang, jadi mengapa mereka kini menggunakan kumpulan T15 untuk pelaksanaan subsidi.

"Bukan kita saja pening, rakyat di luar pun lagi pening," katanya.

Tambahnya lagi, T15 juga bakal dikurangkan subsidi pendidikan dan kesihatan secara berperingkat.

"Janganlah menghukum mereka seperti ini. Penyediaan akses pendidikan dan kesihatan yang baik adalah tanggungjawab utama kerajaan tanpa perlu menganaktirikan mana-mana kelompok di negara ini.

"Sepatutnya asas pendidikan dan kesihatan disediakan secara percuma kepada semua rakyat Malaysia," katanya.

Ka Siong membangkitkan kenyataan Menteri Ekonomi sebelum ini yang memaklumkan bahawa kerajaan merancang untuk mengenakan dua harga berlainan bagi RON95 di stesen petrol apabila subsidi pukal dimansuh tahun depan.

Katanya, akan ada harga yang tidak bersubsidi untuk golongan T15, manakala baki 85 peratus rakyat masih akan membayar harga bersubsidi.

"Sekiranya mahu letak dua harga bagi RON95, maka kena ada satu mekanisme atau cara di stesen petrol untuk kenal pasti siapa T15 dan baki 85 peratus yang lain.

"Kerajaan sepatutnya mengambil iktibar kegagalan Kerajaan PH 1.0 terdahulu untuk melahirkan satu mekanisme pemberi subsidi petrol walaupun RM25 juta sudah dibayar kepada sebuah syarikat perunding," katanya.

Sumber : BH


Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


Komen di sini | Komen di Forum

Komen Terbaru

Quote EJALTI 22-10-2024 06:50 PM
Pengelasan salah T15 boleh 'zalimi' rakyat biasa seperti guru, PTD

https://www.malaysiakini.com/news/723565

N Faizal Ghazali, Hariz Mohd & Alyaa Alhadjri
Diterbitkan:  Oct 22, 2024 5:09 PM

Dikemaskini: 5:09 PM



PARLIMEN | Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) menegaskan sangat tidak adil sekiranya orang biasa seperti pasangan suami isteri yang bekerja sebagai guru atau pegawai kerajaan turut ditakrif sebagai golongan T15 yang sekelompok dengan tokoh korporat atau jutawan.

Menurutnya, berdasarkan data pendapatan isi rumah dari kaji selidik pendapatan isi rumah (HIS) dan pendapatan perbelanjaan isi rumah (HIES) oleh Jabatan Perangkaan Malaysia setakat 2022, sebanyak 15 peratus pendapatan tertinggi di Malaysia bermula dengan jumlah RM13,295 dan ke atas.

"Takrifan T15 sebagai golongan maha kaya sangat tidak adil.

"Seorang tokoh korporat dan jutawan tergolong dalam T15 manakala suami isteri guru gred DG48 atau pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) gred M48 ke atas juga tergolong di dalam T15. Adil atau tidak?

"Sebelum ini kerajaan kata tak mahu gunakan pendapatan sebagai threshold (ambang), tapi kenapa sekarang guna T pula? Bukan kita saja yang pening, rakyat di luar pun lagi pening," katanya.

Wee yang juga Presiden MCA menambah, sebelum ini Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pernah mengumumkan pengagihan subsidi akan dibuat berdasarkan pendapatan boleh guna bersih (nett disposable income) serta faktor lokaliti.

Bagaimanapun, kata Wee, dalam aspek penyasaran subsidi diesel melalui Budi Madani, "formula" Rafizi itu didakwanya tidak terpakai.

Wee berkata demikian semasa membahaskan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Hanya perlu satu harga

Tambah Wee keadaan itu akan menyebabkan penganiayaan ke atas kumpulan tertentu kerana rakyat tergolong dalam kategori T15 tidak layak untuk mendapat subsidi petrol RON95.

Pada masa sama, kata Wee, pemberian subsidi Budi Madani menggunakan kriteria pendapatan individu RM100,000 setahun atau RM8,333 sebulan.

Wee turut mempersoalkan mengapa kerajaan tidak menunjukkan ketekalan dalam pelaksanaan polisi seperti itu.

"Kelmarin pula Menteri Ekonomi kata kerajaan merancang untuk kenakan dua harga berlainan bagi RON95 di stesen petrol apabila subsidi pukal dimansuh tahun depan.

"Dia kata akan ada harga yang tidak bersubsidi untuk golongan T15 manakala baki 85 peratus rakyat masih akan membayar harga bersubsidi.

"Sekiranya mahu letak dua harga bagi RON95, maka kena ada satu mekanisme atau cara di stesen petrol untuk kenal pasti siapa T15 dan siapa lagi baki 85 peratus.

"(Adakah) sama ada melalui MyKad atau ada cara atau sistem pengenalan lain?" soalnya.



Mengulas lanjut bekas menteri pengangkutan itu turut mengemukakan cadangan agar kerajaan boleh mengkenakan levi petrol ke atas kenderaan petrol baru yang bernilai RM300,000 ke atas, selain mengenal pasti golongan T15.

Jelasnya, sekiranya setiap kenderaan golongan T15 akan isi minyak 50 liter seminggu atau sekitar 2,600 liter setahun, manakala kos subsidi ialah RM1 bagi setiap liter, kerajaan boleh mengenakan levi petrol RM2,600 setahun ke atas lesen kenderaan golongan terbabit.

"Sekiranya mereka benar-benar dari golongan T15 atau mampu membeli kereta melebihi RM300,000 saya rasa bukan masalah untuk mereka membayar RM2,600 setahun bagi setiap kenderaan milik mereka.

"Dengan cara ini, kita hanya perlu ada satu harga petrol bersubsidi di stesen minyak dan kerajaan tetap akan mengutip wang sebagai kos subsidi bagi golongan T15," katanya.
Quote sfrnna 23-10-2024 11:24 PM
Betul la tu. Pastu duduk pulak KL, anak 5 orang..
Quote ninja boy 24-10-2024 12:22 AM
Beli kereta mahal2 mampu apatah lagi petrol
Quote pinkpunk 24-10-2024 07:43 AM
pandai pun...ni je ke hasil lepas kita submi padu..adoiii, terpaling ekonomi sgt
Quote s@s@ 24-10-2024 08:54 AM
ninja boy replied at 24-10-2024 12:22 AM
Beli kereta mahal2 mampu apatah lagi petrol

b40 pun mampu beli keta mahal.
x caya g jengah kat parking flat dbkl
Quote kucingitam 24-10-2024 09:18 AM
s@s@ replied at 24-10-2024 08:54 AM
b40 pun mampu beli keta mahal.
x caya g jengah kat parking flat dbkl

itulah maksud dia, beli kereta mahal mampu, tapi masih merentan b40 sbb duduk flat..jadahnya..
Quote honam 24-10-2024 09:28 AM
PTD laki bini gred 48 kalo combine income dah dekat 24k sebulan, tolak itu ini, balance sekurang-kurangnya setiap bulan ada 10k lagi, lagipun PTD yang banyak duduk di putrajaya bukan guna petrol yg byk sgt, dekat je dari rumah nak pi office
Quote azimodin 24-10-2024 09:30 AM
s@s@ replied at 24-10-2024 08:54 AM
b40 pun mampu beli keta mahal.
x caya g jengah kat parking flat dbkl

This... aku masa bujang dulu duduk rumah flat cos rendah. Berderet honda city/accord, estima pon ada (zaman tu velfire x masuk lagi). Sampai aku pelik, kenapa la dorang sanggup duduk rumah yg sempit & neighbourhood yg kotor camtu kalau mampu pakai kereta import.
Quote azimodin 24-10-2024 09:35 AM
Rm 8,333 sebulan dikira "kaya" kat malaysia ni. Kejadah. Tolak epf, socso & tax dah tinggal 6-7k je. Yuran taksa baby ke dah 800, tu belum masuk lagi barang2 lain. Yang tadika 500. Tu belum kira lagi ansuran rumah. Kereta paling cikai pon axia rm400.
Quote syamzana 24-10-2024 09:36 AM
kesian cikgu2/staf gomen kat kedah perlis pahang gred 48 dah kira t15 walhal apa je la yg muroh sangat kat tempat2 ni pun.
Quote tungkai 24-10-2024 09:49 AM
Sebenarnya gomen nak tarik subsidi abis cerita. Berbelit2 gomen Non ni..
Quote Radzor 24-10-2024 10:11 AM
mengarut punya formula petrol 2 harga utk rakyat. ni bukan half bake punya formula, ni adalah formula bahlol
Quote ultra78 24-10-2024 01:31 PM
Soalan yang valid. Apakah definisi T15 atau golongan maha kaya tu? Bagi orang awam, mestilah faham itu berdasarkan pendapatan kasar isi rumah. Formula sama seperti T20,M40,B40. Rafizi pulak kata ia akan pakai pengiraan lain. Bangang. Jangan la guna huruf T depan kalau formula dia lain.  

Aku pun boleh create kategori baru, U15. Kategori ini adalah top 15% daripada kumpulan T20. Mereka ni barulah munasabah dipanggil maha kaya.

Kerja makan gaji sebagai guru masuk dalam golongan maha kaya. Memang tolol.

Satu lagi, sepatutnya kena ikut cara islam. Pendapatan isi rumah patut kira pendapatan suami sahaja kerana merekalah yang perlu tanggung keluarga.
Quote white_musk 24-10-2024 01:34 PM
tak payah ikut kumpulan.... tarik balik sabsidi disel terus tak kira miskin kaya
Quote menjad 24-10-2024 07:35 PM
Kejam gila kalau tekad jugak nak laksanakan. Bayangkan kalau ada 2 anak di IPT, 3 lagi SM dengan tiada subsidi pendidikan. Makin ramai lah yg mnghidala masalah mental nanti.

Lihat semua komen(15)


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

21-11-2024 08:30 PM GMT+8 , Processed in 0.125235 second(s), 30 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top