Uqasha juga sebak mengenangkan sudah enam bulan membesarkan anaknya, Hawra Uqaira , satu tempoh yang dirasakan begitu pantas.
Malah, pelakon filem Hantu Kak Limah itu turut mendoakan semoga puteri sulungnya berada dalam keadaan baik dan dirahmati Tuhan.
“Tiba-tiba rasa sebak sangat. Tak sangka Qasha (nama panggilan Uqasha) sudah melalui tempoh mengandung sembilan bulan. Rasa apa itu sakit melahirkan. berpantang. membesarkan anak sampai sudah hendak masuk enam bulan.
“Belajar macam-macam untuk membesarkan dan memberikan yang terbaik untuk anak. Ya Allah lindungi anakku. Jagalah di setiap langkah kakinya, di setiap detak jantungnya dan di setap hembusan nafasnya.
“Ya Allah panjangkanlah umur anakku, terangilah hatinya, teguhlah imannya, cerdaskan akalnya, baikkan amal perbuatannya, lapangkan rezekinya, dekatkan dia dengan kebaikan dan jauhkanlah dari segala keburukan,” ujar Uqasha.
Perkongsian isteri kepada pelakon Kamal Adli itu kemudian mendapat perhatian beberapa rakan artis dan peminat.
Rata-rata mereka mendoakan semoga Uqasha kuat semangat dan kekal positif dengan cabaran yang mendatang.
“Peluk untuk Uqasha dan Uqaira. Semoga ibunya terus kuat dan tabah. Begitu juga dengan sang anak yang berada dalam keadaan baik.
“Bila cakap macam ini, cepat betul rasanya. Sekarang sudah masuk enam bulan, nanti akan masuk setahun.
“Semoga Uqasha menjadi seorang ibu yang misali,” komen netizen.
Sama ada benar atau sebaliknya, rumah tangga Uqasha dan Kamal kini turut berdepan khabar angin kononnya sedang berantakan.
Menafikan dakwaan tersebut, Uqasha bagaimanapun reda apabila kehidupan rumah tangganya difitnah.
Menjernihkan keadaan, beberapa hari lalu, Kamal turut mengakui, rumah tangga mana yang tidak berdepan salah faham.
Rajuk dan bergaduh itu biasa kata Kamal. Sebagai pemimpin dalam keluarganya, dia hanya tergelak apabila ada pihak cuba menyebarkam fitnah tentang rumah tangganya.
Uqasha dan Kamal diijabkabulkan pada 5 November 2021 selepas dua tahun bercinta.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang dilahirkan pada April lalu.
Sumber – KOSMO! ONLINE