VIENTIANE: Pemimpin Asia Tenggara hari ini akan mengadakan rundingan Sidang Kemuncak dengan Perdana Menteri China, Li Qiang, dengan isu pertikaian di Laut China Selatan menjadi antara agenda utama. Ini adalah pertemuan bersemuka pertama selepas berbulan-bulan peningkatan pertempuran antara kapal Beijing dan nelayan Filipina dan Vietnam di perairan Laut China Selatan yang dituntut ketiga-tiga negara. 10 negara anggota ASEAN akan bertemu Li pada perhimpunan mereka di Vientiane selepas seharian berbincang sesama mereka yang didominasi oleh perang saudara di Myanmar. Perdana Menteri baharu Jepun, Shigeru Ishiba dan Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol juga akan menyertai sidang kemuncak itu, bersama Perdana Menteri India, Narendra Modi. Semalam, Pemimpin ASEAN mengulangi gesaan yang dibuat sekian lama berhubung gesaan mengekang dan menghormati undang-undang antarabangsa, menurut deraf kenyataan pengerusi sidang kemuncak yang dilihat oleh AFP.
Beijing menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, laluan maritim yang mempunyai kepentingan strategik yang besar di mana bertrillion dolar bertukar tangan dalam transit perdagangan setiap tahun. Bagaimanapun, beberapa anggota ASEAN, Filipina, Vietnam, Indonesia dan Brunei juga mempunyai tuntutan bersaing ke atas pelbagai pulau kecil dan terumbu karang. Pertemuan dengan Li berlaku selepas beberapa pertempuran ganas di laut, terutama membabitkan kapal pengawal Pantai dan militia China dengan tentera serta nelayan Filipina di sekitar Kepulauan Spratly. Pengawal pantai China dan kapal militia bertindak merempuh, menembak meriam air dan menyekat kapal kerajaan Filipina, malah ada nelayan Filipina dan Vietnam turut menjadi mangsa serangan China. Awal bulan ini, Vietnam mengeluarkan kecaman selepas beberapa nelayannya diserang dan dirompak di luar Kepulauan Paracel oleh apa yang digelarnya sebagai 'pasukan penguatkuasa undang-undang China'. Beijing membalas kritikan itu dengan menyatakan pulau-pulau itu adalah wilayah kedaulatannya dan kakitangannya mengambil tindakan untuk menghentikan 'penangkapan ikan secara haram' oleh nelayan Vietnam. Sejak beberapa tahun ini, China berusaha untuk meluaskan kehadirannya di kawasan yang dipertikaikan di Laut China Selatan, sekali gus bertindak mengetepikan keputusan antarabangsa bahawa tuntutannya terhadap kebanyakan laluan air itu tidak mempunyai asas undang-undang. Ia membina pulau buatan yang lengkap bersenjatakan sistem peluru berpandu dan landasan untuk jet pejuang serta menegah kapal yang dikatakan milik Filipina mengganggu kapalnya dan menyekat nelayannya. Rundingan dengan Li juga dijangka meliputi isu Myanmar yang menganggap China sebagai sekutu utamanya ketika blok itu berusaha menamatkan konflik berdarah di negara itu. Pemimpin ASEAN mengutuk serangan ke atas orang awam dan 'mengesa semua pihak terbabit mengambil tindakan konkrit untuk menghentikan segera keganasan tanpa berkecuali', menurut deraf kenyataan pengerusi sidang kemuncak yang dilihat oleh AFP. ASEAN bersetuju dengan rancangan damai lima perkara dengan junta Myanmar lebih tiga tahun lalu tetapi jeneral negara itu mengabaikannya dan blok itu tidak menemui penyelesaian untuk memaksa mereka patuh. Konflik yang bermula dengan rampasan kuasa Februari 2021 menyebabkan beribu-ribu orang mati dan memaksa jutaan orang meninggalkan kediaman mereka. Esok, Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken, Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dan lain-lain akan menyertai pemimpin ASEAN untuk Sidang Kemuncak Asia Timur tahunan. - AFP Sumber: BH |
ADVERTISEMENT