“Sebelum ini, semasa dia berada di Malaysia hanya jadi pengacara program, orang buat tidak nampak sahaja bakat yang dia ada.
“Sebab itu, apabila ada anak muda yang cakap dia bercita-cita nak menang anugerah di luar negara, Oscar contohnya, kita jangan perlekehkan. Kita kena sokong dan percaya dia mampu buktikan.
“Saya tengok orang kita ini suka pandang golongan selebriti tempatan pada kasta rendah. Mereka panggil artis pun dengan panggilan ‘retis’. Itulah persepsi dan perspektif mereka terhadap selebriti tempatan,” ujar Scha.
Sambung Scha, penghargaan dan sokongan wajar diberikan kepada bakat-bakat seni tempatan kerana secara tidak langsung, golongan anak seni juga membantu membawa nama negara ke peringkat antarabangsa.
“Sebab itu saya percaya, pelakon baharu lebih berani dan agresif. Merekalah yang akan membawa gelombang baharu dalam industri seni ini. Sudah tiba masa kita bawa nama, bakat dan jenama diri hingga ke luar negara,” katanya.
Sungguhpun begitu, kata Scha, kehebatan dan kualiti yang ada pada artis tempatan jarang dipandang atau diangkat oleh masyarakat kita sendiri sehinggalah ada pihak luar yang berbuat demikian.
“Itulah budaya orang kita, bila pihak luar julang bakat anak-anak seni tempatan, barulah hendak sokong. Bagi saya, siapa lagi yang nak sokong bakat anak tempatan kalau bukan orang kita sendiri? Cukup susah untuk buka mata orang kita hargai bakat tempatan sedangkan ramai yang bagus-bagus.
“Saya faham, kita kekurangan platform tetapi kita sedang berkembang maju juga. Banyak filem yang dihasilkan sekarang bukan sahaja untuk tayangan penonton tempatan, tetapi juga orang luar.
“Ini adalah inisiatif produksi dan tenaga kreatif yang sedang cuba mengetengahkan bakat serta karya anak seni kita. Sokongan orang tempatan terhadap bakat tempatan penting, jangan sudah raih anugerah di luar negara baru kita nak ‘claim’ (akui),” katanya yang ditemui pada majlis pelancaran Expo kecantikan dan ksihatan, Beautopia oleh Watson di Pavilion Bukit Jalil, semalam.
Terdahulu, pelakon muda popular Meerqeen meluahkan rasa kecewa apabila ada pihak memperkecilkan impiannya untuk menggenggam anugerah Oscar.
Sumber – KOSMO ONLINE