Kuala Lumpur: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keprihatinan Kerajaan Madani terhadap masyarakat India akan diteruskan menerusi Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober depan bagi melaksanakan beberapa program khusus seperti sebelum ini. Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan tidak pernah meminggirkan kebajikan golongan itu, malah sentiasa menambah baik semua aspek penting termasuk pendidikan, penyediaan rumah ibadat dan peluang pekerjaan. Beliau berkata, sehingga kini sebanyak RM1.5 juta disalur untuk bakul makanan sempena perayaan Deepavali manakala RM20 juta bagi pembinaan tempat pembakaran mayat atau krematorium di beberapa negeri melibatkan Kedah, Johor, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang. "Sebelum ini juga kerajaan menyalurkan peruntukan kepada Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) selain menambah beberapa dana seperti bantuan kepada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk masyarakat India," katanya dalam hantaran menerusi Facebook hari ini.
Perdana Menteri berkata, beliau sudah menyampaikan amanat mengenai usaha kerajaan terhadap masyarakat India itu ketika pertemuan bersama Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri dan media masyarakat India hari ini serta mengingatkan hadirin kepentingan mengekalkan keharmonian antara semua kaum. "Semoga taraf sosioekonomi masyarakat India di negara ini dapat terus dipertingkatkan pada masa hadapan," katanya. Sumber :– Harian Metro |
ADVERTISEMENT