Washington: Lelaki bersenjata yang dituduh merancang untuk membunuh Donald Trump di padang golfnya di Florida, didakwa pada Selasa atas tiga pertuduhan tambahan, termasuk cubaan membunuh calon presiden itu. Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat (AS) mengumumkan, Ryan Routh, 58, ditahan pada 15 September lalu selepas ejen Perisikan Rahsia ternampak dia dengan pistol, berhampiran kawasan tempat Trump bermain golf. Dia sudah didakwa atas dua jenayah senjata api berhubung kejadian itu. Dakwaan baharu itu dikeluarkan lewat Selasa oleh juri di Miami, Florida, kata DoJ dalam satu kenyataan. Dokumen mahkamah menunjukkan bahawa kes itu sudah diserahkan secara rawak kepada Hakim Aileen Cannon. Selain cubaan membunuh calon presiden, pertuduhan baharu itu juga termasuk memiliki senjata api untuk meneruskan jenayah kekerasan dan serangan ke atas pegawai persekutuan (ejen Perkhidmatan Rahsia).
Ketika kejadian, Routh dikesan di kawasan semak oleh ejen Perkhidmatan Rahsia ketika Trump bermain golf. Ejen itu melepaskan tembakan ke arah suspek, yang melarikan diri tetapi kemudiannya berjaya ditahan. Seorang hakim persekutuan memutuskan pada Isnin bahawa Routh harus kekal dalam tahanan. Analisis Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) terhadap telefon bimbit milik Routh menunjukkan dia berada di Florida sejak 18 Ogos lepas, dan perantinya dikesan beberapa kali antara tarikh itu dan 15 September lalu berhampiran padang golf Trump dan kediamannya di Mar-a-Lago, kata pendakwa raya. Sebelum dikesan oleh ejen Perisikan Rahsia, dia menghabiskan hampir 12 jam di sekitar kelab golf itu, berdasarkan data daripada lokasi telefonnya, kata pihak pendakwaan. Ia adalah percubaan kedua untuk membunuh Trump pada musim panas ini. Kali pertama pada 13 Julai lalu iaitu pada perhimpunan di Butler, Pennsylvania, apabila seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan, membunuh seorang dan mencederakan Trump di telinga. Pada kejadian terbaru itu, Trump tidak cedera. Sumber :– Harian Metro |
ADVERTISEMENT