PARA peminat seni bela diri campuran (MMA) berpeluang untuk bertemu legenda sukan tersebut, Khabib Nurmagomedov yang bakal tiba di Malaysia pada 29 September depan. Bekas juara lightweight UFC berusia 35 tahun itu turut mendedahkan bahawa beliau akan mengadakan pertemuan dengan peminatnya di Jakarta, Indonesia pada 5 Oktober dalam acara Khabib The Path Of A Champion. “Assalamualaikum kepada semua peminat saya di Indonesia dan Malaysia. Saya sangat teruja untuk mengumumkan, bahawa saya akan bertemu peminat saya dari Malaysia dan Indonesia tidak lama lagi,” kataya menerusi laman Instagram. Khabib berasal daripada Republik Dagestan Rusia menjadi muslim pertama yang memenangi gelaran UFC bagi kategori lightweight dan tidak pernah tewas sepanjang pertarungan dengan rekod 29-0. Beliau adalah Juara Lightweight UFC yang paling lama bertahan, setelah memegang gelaran itu sejak April 2018 hinggalah Mac 2021.
Kali pertama dia mempertahankan kejuaraan tersebut ialah Oktober 2018 selepas menewaskan petarung Ireland, Conor McGregor dalam aksi UFC 229 yang penuh kontroversi. Kemenangan itu diteruskan apabila dia menewaskan lawannya dari Amerika Syarikat, Dustin Poirier pada September 2019 dalam saingan UFC 242. Bagaimanapun, Khabib menggempar dunia menerusi pengumuman persaraan selepas pertarungan menentang Justin Gaethje pada saingan UFC 254 di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu pada 2020. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT