SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) harus terus berperanan membawa kemajuan pendidikan kepada orang melayu dan bumiputera sehingga mereka boleh berdiri sendiri seterusnya pencipta nilai di dalam ekonomi masyarakat. Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, UiTM masih kekal relevan sehingga ke hari ini atas sebab dan kemunduran dengan kita tidak boleh lari daripada realiti bahawa orang Melayu dan bumiputera itu perlu dibantu dengan pendidikannya yang lebih terkedepan. Katanya, ini kerana kebanyakan orang melayu dan bumiputera itu datang daripada golongan masyarakat yang tersusah. “Namun begitu, orang Melayu itu tidak boleh sentiasa disuap dengan segala kesenangan sehinggakan mereka terlalu bergantung harap kepada orang lain. “Di sinilah peranan penting UiTM untuk membawa suatu kemajuan pendidikan kepada orang melayu dan bumiputera,” katanya sempena majlis Malam Gala 25 tahun UiTM, malam ini.
Teks ucapan beliau disampaikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof. Anwar menegaskan, sejarah UiTM perlu dimaknai dengan suatu fahaman tentang tantangan dan permasalahan pendidikan orang Melayu itu sendiri. Beliau bagaimanapun memuji apabila UiTM berjaya untuk mengekalkan malah memartabatkan citra bumiputera, dan pemikiran yang lebih mengakar kepada konteks tempatan dan tidak semena-mena menjadi pengagum aliran pendidikan barat semata-mata. Ujarnya, antara pencapaian terhebat UiTM berada di kedudukan ke-587 dalam QS World University Rankings 2025 dan ke-98 dalam QS Asia University Rankings 2024, serta kedudukan ke- 599 dalam QS World University Rankings: Sustainability 2024, ke-151 di Asia dan ke-13 di Malaysia. “Kita juga dapat saksikan para pelajar UiTM telah berjaya menempa nama di persada dunia dengan pencapaian skor tertinggi dalam peperiksaan Association of Chartered Certified Accountant (ACCA). “Malah, salah satu usaha yang saya anggap begitu baik dan inovatif ini adalah dalam usaha UiTM untuk Memasyarakatkan Kecerdasan Buatan (AI),” katanya. Mengulas lanjut, Anwar menegaskan, UiTM telah berjaya memenuhi visi dan misi membangunkan anak Melayu dan bumiputera termasuk peningkatan angka golongan menengah Melayu dan bumiputera. “Bertunjangkan kepada kekuatan bangsa Melayu dan bumiputera, UiTM merupakan sebuah institusi pengajian tinggi yang amat menekankan erti kemerdekaan terutamanya dalam mempertahankan dan memartabatkan hak pendidikan anak bangsa agar terus dipertahan dan diperjuangkan. “Kemakmuran yang dikecapi pada hari ini bukanlah diperolehi secara nasib dan kebetulan, tetapi melalui usaha gigih semua pihak dengan penuh ikhlas, istiqamah dan tawaduk untuk sama-sama membangunkan negara ini,” katanya. Majlis tersebut disempurnakan Pro Canselor UiTM, Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin yang juga berkenaan menandatangani plak perasmian Monumen Hasrat sempena penubuhan UiTM sebagai universiti. Turut berkenaan berangkat adalah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah. Sumber – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT