LONDON: Varian Mpox baharu yang sedang merebak di Republik Demokratik Congo dikesan berubah lebih pantas dari jangkaan. Menurut kumpulan saintis yang mengesahkan perkara itu selepas membuat kajian terhadap varian Mpox, penyakit terbabit lebih pantas berubah di kawasan yang kekurangan pakar dan peralatan untuk mengesan sifat virus itu. "Ia bermakna masih banyak lagi yang belum kita dapat rungkaikan mengenai voris itu sendiri, sejauh mana ia serius dan cara penyebarannya, sekaligus menyukarkan proses tindak balas," menurut saintis mewakili Afrika, Eropah dan Amerika Syarikat (AS). Sementara itu, pakar penyakit berjangkit di Hospital Universiti Delta Niger di Nigeria yang mempengerusikan jawatankuasa kecemasan Mpox WHO, Dr Dimie Ogoina, pihaknya khuatir usaha dilakukan di Afrika hanya membuta tuli kerana masih tidak memahami sifat sebenar virus terbabit.
Beliau berkata, mereka masih tidak mengenali virus itu dengan baik, sekaligus menyebabkan proses menangani masalah dari segi penyebaaran, keseriusan dan faktor risiko penyakit adalah sukar. "Saya bimbang dengan fakta bahawa virus itu nampaknya bermutasi dan berupaya menghasilkan varian baharu. "Clade IIb di Nigeria mengambil masa lima tahun atau lebih untuk berkembang, sekaligus mencetuskan wabak global 2022. "Namun Clade Ib boleh melakukan perkara sama dalam tempoh tidak sampai setahun," katanya. Sebelum ini, Mpox yang dikenali sebagai monkeypox, menjadi masalah kesihatan awam di beberapa bahagian di Afrika sejak 1970. Penyebaran virus itu mendapat perhatian dunia selepas ia melonjak di beberapa negara pada 2022, sekaligus mendorong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan kecemasan kesihatan global. Pengisytiharan kemudiannya ditamatkan 10 bulan kemudian. WHO sekali lagi mengisytiharkan kecemasan kesihatan terhadap varian baharu Mpox dikenali sebagai clade Ib yang merupakan mutasi dari clade I. Ia sejenis Mpox yang disebarkan melalui sentuhan dengan haiwan yang dijangkiti dengan simptom jangkitan seperti selesema dan luka dipenuhi nanah, sekaligus mengancam nyawa. Menurut WHO, Congo merekodkan lebih 18,000 kes yang disyaki clade I dan clade Ib Mpox dengan 615 kematian dilaporkan tahun ini. Bulan lalu, terdapat 222 kes clade Ib yang disahkan di empat negara Afrika, selain satu kes masing-masing di Sweden dan Thailand membabitkan pesakit yang mempunyai sejarah perjalanan di Afrika. Sementara itu, ahli epidemiologi Afrika Selatan dan pengerusi jawatankuasa penasihat Mpox Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Afrika, Dr Salim Abdool Karim, berkata versi bermutasi, clade Ib dan IIb, kini boleh dianggap sebagai penyakit seksual yang menular. Beliau berkata, kebanyakan kes clade Ib yang bermutasi adalah dalam kalangan orang dewasa, bermula dengan wabak dalam kalangan pekerja seks wanita di South Kivu, Congo. "Virus ini juga boleh merebak melalui hubungan rapat dengan orang yang dijangkiti, kemungkinan menunjukkan bagaimana kanak-kanak dijangkiti dengan clade Ib, terutamanya di Burundi dan di kem penempatan di timur Congo," katanya. - REUTERS Sumber : -BERNAMA |
ADVERTISEMENT