WASHINGTON – Pemilik syarikat Space X yang juga orang terkaya dunia, Elon Musk mempertahankan pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Telegram, Pavel Durov yang ditangkap di Paris, lapor akhbar New York Post semalam. Musk menulis tanda pagar #FreePavel di platform X miliknya, beberapa jam selepas Pavel diberkas di lapangan terbang Le Bourget atas dakwaan beliau membenarkan aktiviti jenayah berkembang pesat dalam Telegram. Pihak berkuasa Perancis mengeluarkan waran geledah sebagai sebahagian daripada penyiasatan awal ke atas Pavel yang digelar ‘Mark Zuckerberg Russia’. Bagaimanapun, pihak berkuasa itu hanya dapat bertindak terhadap Pavel jika lelaki berusia 39 tahun itu berada di Perancis. Musk turut berkongsi klip video memaparkan Pavel memuji X kerana inovasi dan memperjuangkan kebebasan untuk bersuara.
Dalam komennya di X, Musk menyelar Zuckerberg dengan memetik hantaran mesej netizen bertanya kenapa Ketua Pegawai Eksekutif Meta itu tidak ditahan atas tuduhan yang sama seperti dihadapi oleh Pavel. “Instagram (milik Zuckerberg) mempunyai masalah eksploitasi kanak-kanak yang besar tetapi tiada penahanan terhadap Zuck (Zuckerberg),” katanya. – AGENSI Sumber : KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT