PARIS – Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) aplikasi mesej Telegram ditangkap di sebuah lapangan terbang di Perancis, lapor portal berita The Sun. Polis menahan bilionair kelahiran Russia, Pavel Durov, 39, semasa dia turun dari jet peribadinya selepas tiba dari Azerbaijan. Durov yang ditemani pengawal peribadinya dan seorang wanita, ditangkap kira-kira pukul 8 malam (waktu tempatan) semalam di lapangan terbang Le Bourget, pinggir Paris. Pihak berkuasa mendakwa bahawa aplikasi itu kurang bekerjasama dengan penguat kuasa undang-undang. Paris juga menuduh Telegram menyediakan kemudahan mencurigakan seperti nombor pakai buang dan mata wang kripto, menjadikannya sebagai ‘konco ‘ dalam aktiviti pengedaran dadah, pedofilia dan penipuan. Namun, waran geledah ke atas ‘Mark Zuckerberg Russia’ itu hanya akan menjadi sah jika dia berada di tanah airnya.
Taikun teknologi itu telah berpindah dari Russia ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE), negara-negara bekas Kesatuan Soviet dan Amerika Selatan kerana dia adalah persona non grata atau warga asing yang tidak dikehendaki di Perancis. Durov didakwa atas pelbagai kesalahan, lapor saluran televisyen TF1 Info. – AGENSI Sumber : – KOSMO! ONLINE |
ADVERTISEMENT