MELAKA – Perbuatan kejam seorang anak memukul kepala ibu kandungnya dengan topi keledar berbalas selepas dia dihukum penjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. Majistret Nabilah Nizam menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Ezat Hamidee Abdul Latif, 35, membuat pengakuan bersalah atas kesalahan tersebut. Tertuduh didakwa mencederakan Asiah Mohd. Said, 60, dengan memukul kepala mangsa menggunakan topi keledar pada pukul 12.30 tengah hari di sebuah rumah di Telok Mas pada 4 Ogos 2024. Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua hukuman itu mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan. Mengikut fakta kes, tertuduh bertindak sedemikian selepas berang kerana ditegur ibunya agar tidak berkawan dengan individu yang terjebak dadah kerana lelaki itu sedang menjalani tempoh pemulihan di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka Tengah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal kerana mangsa adalah ibu kandung tertuduh. Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara lima bulan terhadap tertuduh bermula dari tarikh ditangkap pada 4 Ogos lalu. Sementara itu, tertuduh mengaku tidak bersalah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memberikan dadah jenis methamphetamine kepada diri sendiri. Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM2,000 dengan seorang penjamin. Sumber: KOSMO |
ADVERTISEMENT