Shah Alam: Polis giat mengesan dua lelaki dipercayai terbabit dalam jenayah pecah masuk rumah seorang pegawai polis di Taman Sri Andalas, Klang, semalam. Ketua Polis Daerah Klang Selatan Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata pihaknya terdahulu menerima laporan daripada mangsa yang berusia 36 tahun pada 4.20 petang. Katanya, mangsa yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerima maklumat daripada jiran rumahnya dipecah masuk. "Selepas dimaklumkan jiran, mangsa pulang ke rumah dan mendapati gril pintu rumah diumpil serta rumahnya dalam keadaan berselerak. "Semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berdekatan mendapati pada jam 2.20 petang, suspek yang menaiki sebuah kenderaan mewah berwarna putih berhenti di hadapan rumah mangsa. "Dua suspek lelaki kemudian keluar daripada kereta dan mengumpil gril pintu rumah mangsa sebelum beredar selepas mengambil barangan dari dalam rumah," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, susulan itu, mangsa mengalami kerugian RM5,000 iaitu kehilangan tiga beg tangan pelbagai jenama, beg duit, telefon bimbit serta wang tunai RM100. Katanya, Bahagian Siasatan Jenayah IPD Klang Selatan membuka siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan pecah rumah. "Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Ibu Pejabat Daerah ini di talian 03-33762222 atau hadir di mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya. Sumber : Harian Metro Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My Telegram Channel : https://t.me/+KyXuOvLcTgkxZWE1 Whatsapp Channel : https://whatsapp.com/channel/0029Vacxp9d9MF91QzmmW60X Threads : https://www.threads.net/@caridotmy |
ADVERTISEMENT